Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET), melakar kejayaan baharu dalam pembangunan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) setelah melantik Hap Seng Smart Sdn. Bhd. sebagai pengedar sah pertama kenderaan smart.
Pelantikan ini membuka peluang kepada PRO-NET selaku pengedar dan pengimport rasmi
jenama smart di Malaysia dan Thailand memperkenalkan kenderaan elektrik serba baharu
berinovasi, smart #1 di Malaysia pada penghujung tahun 2023.
Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk membawa kecemerlangan automotif EV ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua komponen iaitu pelantikan pengedar premium baharu dan penubuhan Pusat Jenama smart serba baharu atau smart Space.
Hap Seng Smart sebagai pengedar sah pertama smart

Sinonim dengan jenama automotif premium, pelantikan Hap Seng Smart mencerminkan
komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran automotif model eksklusif dan pada masa yang sama menjadi peneraju jenama automotif EV terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara.
Hap Seng Smart akan memanfaatkan kepakaran teknikal syarikat induknya, Hap Seng Group yang telah bertapak sebagai peneraju pengedar automotif terkemuka di Malaysia dengan memiliki sejarah di dalam penjualan automotif lebih 50 tahun.
Bilik pameran pertama akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diikuti sebuah lagi bilik pameran di Balakong, Selangor.
“PRO-NET percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik malah turut menyediakan kemudahan yang komprehensif dan pengalaman yang unik kepada pelanggan.

“Pelantikan ini menandakan kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium dan juga pasaran EV terbaharu di Malaysia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend turut berkongsi keterujaannya terhadap lembaran baharu bersama PRO-NET yang dianggap sejajar dengan matlamat mereka untuk menjadi peneraju kepada industri EV dalam usaha menyokong aspirasi EV negara.
Bagi meneruskan komitmen syarikat berkenaan di dalam mengutamakan pelanggan dan
menyediakan perkhidmatan yang terbaik, Kumpulan Hap Seng akan menawarkan pengalaman pembelian automotif premium kepada setiap pelanggan selari dengan EV rekaan Mercedes-jenama smart yang bakal berada di pasaran Malaysia pada penghujung 2023.




































