Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan model utama Arteon R-Line 4MOTION yang telah dipertingkatkan dan kini dilengkapi teknologi IQ.DRIVE.
Dengan harga cadangan RM299,990, ciri-ciri baharu IQ.DRIVE merangkumi Bantuan
Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan selamat.
Ia juga hadir dengan port pengecasan tanpa wayar. Rekaan Arteon yang kemas menyembunyikan prestasinya yang mengagumkan. Di bawah hud terletak enjin turbo 2.0L TSI yang mampu menjana kuasa 280PS dan tork 350Nm.
Dipadankan dengan kotak gear klac basah tujuh kelajuan DSG direct shift, fastback itu boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan
penjimatan bahan api sekitar 7.4L/100km.

Pengendalian luar biasa disumbang oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION yang menyalurkan kuasa ke roda belakang apabila perlu untuk memberikan cengkaman dan kawalan lebih baik di atas jalan.
Ruang dalaman Arteon yang luas cukup elegan dan sporty, disempurnakan lagi dengan
kemasan perak R-Line dan stereng baharu. Ciri-ciri untuk pemandu juga lebih inovatif, intuitif dan boleh diubah suai.
Semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi sistem Digital Cockpit dan infohibur Discover Pro yang menampilkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt melengkapkan lagi ruang dalaman yang mewah itu. 12 unit pembesar suara menawarkan akustik yang terbaik dan lebih segar.

Warna
Tiga warna metalik ditawarkan: kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna dengen efek mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).
Harga
Harga cadangan (RRP) untuk Arteon R-Line 4MOTION baharu ialah RM299,990. Ia turut disokong oleh penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.




































