AirAsia terus menggalakkan penggunaan ciri-ciri tanpa sentuhan, termasuk daftar masuk kendiri dan pas masuk elektronik melalui airasia Superapp dan mesin daftar masuk bagasi kendiri.
Syarikat penerbangan itu juga berharap lebih ramai tetamu akan memanfaatkan sistem pengecaman wajahnya iaitu FACES untuk pelepasan pra-keselamatan dan menaiki penerbangan domestik terpilih.
Ciri-ciri tersebut bukan sahaja membolehkan proses daftar masuk, pra-keselamatan dan menaiki penerbangan lebih cepat, selamat dan cekap, malah melancarkan perjalanan para tetamu kerana mereka tidak perlu lagi berbaris di lapangan terbang dan boleh terus ke pintu masuk.
Lebih daripada 90% tetamu yang berlepas dari Malaysia telah berjaya menggunakan ciri-ciri daftar masuk kendiri pada tahun 2022, dan berikutan kejayaan ini dan aplikasi Superapp yang dipertingkatkan, syarikat penerbangan ini akan mengehadkan kemudahan perkhidmatan daftar masuk kaunter di Malaysia berkuat-kuasa 1 Mei 2023.
Justeru, bagi mereka yang masih memilih untuk mendaftar masuk di kaunter, bayaran daftar masuk di kaunter akan dikenakan di Malaysia.
Ini bertujuan untuk menggalakkan para tetamu menggunakan inisiatif digital yang menawarkan pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar.
Walaupun langkah ini membantu menampung kos berkaitan penyelenggaraan kaunter daftar masuk tambahan, AirAsia berharap langkah pendigitalan ini akan memacu pengalaman perjalanan tanpa sentuhan sepenuhnya pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, bayaran dikecualikan bagi para tetamu yang layak dalam kategori berikut dan masih boleh mendaftar masuk di kaunter secara percuma:
● Warga emas berumur 60 dan ke atas
● Tetamu terjejas oleh perubahan jadual pada saat akhir dan pembatalan penerbangan
● Tetamu yang telah mendaftar masuk kendiri tetapi perlu mencetak semula pas masuk di kaunter
● Tetamu kurang upaya yang memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sah
● Tetamu yang membuat perjalanan sebagai Penumpang Remaja yang Terbang Bersendirian (YPTA)
● Tetamu yang membeli tiket pada saat akhir melebihi tempoh daftar masuk
● Tetamu yang menaik taraf tempat duduk dan/atau menempah perkhidmatan tambahan di kaunter
● Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri
● Tetamu dengan tempahan Premium Flatbed, Premium Flex dan Corporate Full Flex
● Tetamu dengan tempahan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Waran Kerajaan (WAK)
● Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih
Para tetamu yang tidak termasuk di dalam kategori di atas masih boleh mendaftar masuk di kaunter tertakluk pada bayaran sebanyak RM20 bagi setiap tetamu untuk penerbangan domestik dan RM30 bagi setiap tetamu untuk penerbangan antarabangsa.



































