UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) meneruskan tanggungjawab dan komitmen terhadap masyarakat yang memerlukan pada bulan Ramadan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya iaitu program “Jalinan Kasih Edgenta Ramadan”.
Program komuniti yang berlangsung selama sebulan ini telah menyentuh kehidupan lebih 2,000 individu di beberapa buah negeri di seluruh Malaysia.

Program ini bermula dengan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, baucar pembelian barang runcit, dan sumbangan wang tunai yang telah diagihkan kepada 475 keluarga asnaf bertempat di pelbagai lokasi di mana Syarikat beroperasi.
Insiatif ini dijalankan di Masjid Ar Rahah, Bangsar South dan beransur ke PPR Pantai Ria, Bangsar serta masjid-masjid terpilih di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Perlis.
Program diteruskan dengan aktiviti membeli-belah persiapan baju raya sempena Hari Raya Aidilfitri di AEON IOI City Mall, Putrajaya bersama anak-anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain di Bangi.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah penghuni rumah anak yatim yang diberi kesempatan untuk membeli-belah pakaian serta barangan raya, di mana mereka berpeluang untuk melihat dan memilih pelbagai pilihan pakaian, serta keperluan lain.
Anak-anak yatim yang diraikan turut juga berpeluang menikmati juadah berbuka puasa yang menarik dan menyelerakan di Hotel Le Meridien Putrajaya.
“Sempena perayaan Aidilfitri yang meriah ini, kita haruslah mengingati mereka yang kurang bernasib baik dan pastikan mereka tidak diabaikan, terutamanya kesejahteraan kanak-kanak.

“Kita haruslah berusaha untuk meringankan beban dan menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan, agar kita dapat memberi impak yang positif kepada kehidupan mereka serta memberi inspirasi kepada mereka untuk membantu masyarakat yang lain pada masa hadapan,” kata Syahrunizam Samsudin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta.
Program Jalinan Kasih Edgenta Ramadan tahun ini diakhiri dengan penuh kegembiraan sempena majlis pengedaran bubur lambuk kepada lebih 800 pemandu di kawasan R&R Sungai Buloh di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
































