Lotus Cars Malaysia, pemegang francais tunggal kenderaan Lotus di Malaysia hari ini melancarkan Eletre serba baharu yang sangat ditunggu-tunggu – sebuah SUV elektrik
berprestasi tinggi (Hyper-SUV) yang meneruskan transformasi pengeluar kereta sports UK itu ke dalam perniagaan dan jenama kereta berprestasi tinggi global.
Menambah satu dimensi baharu ke dalam portfolio kereta berprestasi Lotus, Eletre membawa prinsip-prinsip asas dan DNA Lotus dari segi kejuruteraan dan reka bentuk kereta sports selama hampir 75 tahun, seterusnya mengevolusikannya menjadi sebuah model gaya hidup yang menawan untuk pelanggan Lotus generasi baru.
Sebagai SUV elektrik baharu sepenuhnya, Eletre juga menampilkan banyak perkara pertama buat Lotus – model pertama di luar segmen kereta sport, kereta elektrik (EV) gaya hidup pertama dan Lotus yang paling ‘tersambung’ setakat ini.
Padat dengan prestasi yang fokus kepada teknologi, termasuklah pakej aerodinamik aktif termaju berbanding mana-mana produk SUV yang lain, Lotus Eletre menawarkan pengendalian dan pemanduan mengagumkan, stereng yang sangat responsif dan keterlibatan dengan pemandu yang luar biasa.
Kesemua tiga varian kini sudah tiba di pasaran Malaysia melalui Eletre, Eletre S dan varian tertinggi Eletre R. Sehingga pelancaran hari ini, Hyper-SUV itu telah menerima 140 tempahan dengan hanya 200 unit tersedia bagi tahun 2023.
“Ini merupakan detik penting dalam sejarah Lotus Cars. Eletre ialah sebuah kereta baharu yang berani dan revolusionari, ia menjadi bukti komitmen kami untuk membawa jenama ini ke dalam segmen automotif baharu dalam usaha kami meningkatkan tarikan dan akses di peringkat global.
Eletre merupakan sebuah Lotus yang sebenar dan kami yakin ia dapat mengujakan pelanggan kereta berprestasi tinggi dan menjadi satu alternatif yang tersendiri dalam segmen ini.

Eletre memiliki jiwa sebuah Lotus dan praktikaliti sebuah SUV. Selain kereta sports Emira, ini ialah kereta yang sempurna untuk garaj anda daripada Lotus,” kata Pengarah Serantau, Asia Pasifik dan Asia Barat Lotus Cars, Daniel Balmer.
“Eletre ialah sebua kereta elektrik berprestasi tinggi yang progresif dan eksotik daripada jenama kereta berprestasi ikonik yang akan menarik minat mereka yang gemar memandu dan berfikiran bebas.
Kombinasi unik di antara reka bentuk yang cantik, prestasi dinamik luar biasa dan boleh dipandu setiap hari, ia memang satu alternatif menarik buat mereka yang mahukan sebuah kereta pemandu sebenar, tetapi gaya hidupnya memerlukan jentera yang lebih praktikal berbanding kereta sports tradisional,” kata Pengurus Besar Lotus Cars Malaysia, Tengku Ezan Ley.
Platform EV seba baharu khas yang menawarkan prestasi luar biasa Eletre dibina di atas platform serba baharu Lotus yang sangat versatil iaitu 800v Electric Premium Architecture (EPA) dengan sistem agihan kuasa bersepadu dan bervoltan tinggi.
Platform ini menggunakan aluminium dan besi regangan tinggi untuk kekukuhan struktur badan yang optimum. Pek bateri rata ‘gaya papan selaju’ dan motor elektrik yang dekat dengan permukaan tanah memberikan titik graviti rendah yang membuktikan komitmen utama Lotus untuk menawarkan prestasi dinamik pemanduan yang luar biasa.
EPA yang versatil itu juga mudah diadaptasi dengan susun atur komponen, saiz bateri dan motor untuk kenderaan kelas C+ hingga E+ serta teknologi pemanduan pintar. Platform itu akan menjadi asas kepada kenderaan eletrik gaya hidup berprestasi tinggi Lotus pada masa depan.
Memacu ke dalam “Kelab Dua Saat” yang eksklusif
Lotus Eletre hadir dengan dua pilihan rangkaian kuasa bersama dua motor elektrik pada roda hadapan dan belakang untuk menawarkan keupayaan pacuan semua roda (AWD).
Eletre dan Eletre S dikuasakan oleh sistem kelajuan tunggal untuk menawarkan 603hp dan tork 710Nm dengan prestasi pecutan 0-100km/j dalam masa 4.5 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa kurang 2.2 saat.
Kedua-dua varian mampu mencapai kelajuan maksimum 258km/j dan jarak pemanduan
maksimum WLTP sejauh 600km. Varian teratas Eletre R hadir dengan sistem dua kelajuan yang menawarkan kuasa mengagumkan 905hp dan tork 985Nm.
Mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa cuma 2.95 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa kurang 1.9 saat dengan pecutan maksimum 265km/j, ia kini merupakan SUV elektrik dua motor paling pantas di dunia. Jarak pemanduan WLTP untuk Eletre R adalah sejauh 490km.
Ketiga-tiga varian menggunakan bateri berkapasiti 112kWh dan pengecas 350kW yang membolehkan pengecasan pantas dari 10 ke 80 peratus dalam masa hanya 20 minit. Ia juga hadir dengan keupayaan menerima pengecasan AC 22kW sebagai ciri standard.
Harga Lotus Eletre adalah seperti berikut. Semua harga di atas jalan, tidak termasuk insurans dan cukai jalan untuk Semenanjung Malaysia sahaja.
Lotus Eletre – bermula RM578,000
Lotus Eletre S – bermula RM648,000
Lotus Eletre R – bermula RM798,000
Lotus Eletre hadir jaminan pengilang selama lima tahun / 150,000km, manakala jaminan bateri adalah selama lapan tahun / 200,000km.





































