Setiap kali menjelang bulan Ramadan tentu sekali Bazar Ramadan menjadi ‘syurga makanan’ dan tumpuan orang ramai tidak kira bangsa.
Selain menjadi lokasi memilih juadah berbuka puasa, ia juga mampu menjana pendapatan tambahan ‘bulan rezeki’ kepada peniaga tempatan.
Paling menarik, setiap Bazar Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri yang bukan sahaja mendapat sambutan meriah dikalangan masyarakat Islam, tetapi juga pelbagai bangsa lain.
Jika anda sedang berkunjung ke Negeri Sembilan, mungkin boleh singgah ke bazar Ramadan di Bandar Baru Nilai. Jom lihat lima menu yang wajib dicuba!

- Mi Goreng Kawah
Kalau anda tengok Mi goreng kawah ini dengan mata saja pun, pasti korang akan kecur air liur sebab warnanya yang emas kemerahan buatkan anda termimpi mi goreng ini tengah berendam dalam mulut anda.
Harganya berpatutan tetapi ‘portion’ yang anda akan dapat sangat mengenyangkan! Bagi penggemar kerang boleh minta untuk ditambah dalam hidangan.

- Roti John Cheese Leleh
Roti John semestinya sudah tidak asing lagi buat kita semua. Ia dikira sebagai adik-beradik kepada murtabak, burger dan kebab.
Di bazar ini, anda akan dapat Roti John yang padat dengan inti daging atau ayam, sayur-sayuran dan limpahan sos keju yang sangat banyak.
Sekali ‘ngap’ memang puas! Apatah lagi ketika masih panas-panas.

- Sate Nilai
Sate selalunya dijadikan makanan sampingan untuk seisi keluarga atau perseorangan. Ia juga mempunyai keunikan tersendiri, terutama kuah kacang yang dijadikan identiti.
Di Bazar Ramadan Nilai, anda wajib cuba sate ayam dan daging di sini. Selain dapat merasa kelembutan daging dan ayam, anda juga akan didedahkan dengan rahsia keenakan kuah kacangnya.
Memang wajib ‘try’!
- Nasi Kerabu
Nasi kerabu di bazar ini memang sangat power! Nasi kerabu bunga telang, sambal ikan kelapa, solok lada, sambal cili sayur, semuanya secukup rasa.

Penggemar makanan Pantai Timur memang wajib cuba. Masuk je nasi dalam mulut, terasa masam-masam pedas sambal ikan kelapa, solok lada yang terasa isi ikan dan kelapa parut.
- Air Katira
Air katira merupakan ‘trend’ yang masih baru di Bazar Ramadan tetapi mendapat sambutan hangat kerana keunikannya dari segi warna dan rasa.

Kelazatan air katira bukan sahaja pada rasanya, tetapi ditambah dengan cincau dan biji chia. Sesetengah peniaga menggunakan biji selasih.
Dah dapat idea untuk menu berbuka hari ini? Selamat menjamu selera!



































