Syarikat penerbangan untuk semua, AirAsia yang mempunyai rangkaian terluas dengan tambang terendah di Asean hari ini melancarkan penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap istimewa untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Balik kampung dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan Sabah pada hanya RM199* dan RM249*, yang tersedia untuk tempahan mulai sekarang sehingga 30 April 2023 untuk perjalanan antara 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023.

Penerbangan tambahan ini tersedia untuk beberapa destinasi seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak dan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah. Para tetamu juga boleh menempah penerbangan dari Johor Bahru ke Miri, Sibu, Kuching dan Kota Kinabalu pada tambang tetap ini.

AirAsia juga telah bekerjasama dengan BigPay untuk menawarkan pengguna BigPay diskaun 5% untuk semua penerbangan AirAsia selama setahun dengan menggunakan kod promosi “BIGPAY5”.

Untuk maklumat lanjut bagi promosi eksklusif ini, layari: https://bigpay.link/bigpayxAA5

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata: “Ini adalah kali kedua saya merasmikan ‘tambang tetap’ khas AirAsia sempena musim perayaan pada tahun ini, dan saya berbesar hati kerana AirAsia kekal dengan komitmennya dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang semasa tempoh perjalanan puncak ini.

Kita telah berganding bahu sebagai sebuah negara dalam mengatasi pelbagai cabaran pada beberapa tahun kebelakangan ini dan saya berbesar hati untuk melihat AirAsia terus menawarkan pilihan perjalanan pada tambang rendah untuk semua.

Saya berharap pemain industri lain akan turut mengikuti inisiatif ini dan mengurangkan kos perjalanan ‒ terutamanya semasa tempoh perayaan supaya lebih ramai orang dapat balik kampung dan beraya bersama-sama rakan dan keluarga mereka.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata: “AirAsia kekal komited untuk menghubungkan para tetamu dengan keluarga mereka pada tambang berpatutan terutamanya ketika musim perayaan di mana lazimnya industri pelancongan menyaksikan kenaikan harga.

Misi dan visi kami untuk membolehkan orang ramai, khususnya rakyat Malaysia untuk terbang ke destinasi pilihan mereka masih kekal sejak tahun 2001 sehingga kini.

“Sebanyak 164 pesawat kami telah beroperasi pada peringkat kumpulan dan jumlah pesawat kami akan kembali kepada kapasiti penuh iaitu 229 pesawat dalam beberapa bulan akan datang, di mana kami akan dapat menerbangkan lebih ramai tetamu pada tambang bernilai hebat.

Kembali kepada paras pra-pandemik adalah sesuatu yang tidak mudah namun kami terus berusaha untuk mengatasi cabaran-cabaran itu. Sepanjang 21 tahun yang lalu, kami telah menerbangkan hampir 800 juta tetamu pada tambang yang tiada tandingan dan telah menawarkan beberapa kempen tambang rendah tetap pada musim perayaan.