HONOR Malaysia tidak menunggu lama untuk memperkenalkan peranti terbaharu Honor X8a yang boleh dikatakan sebagai ‘adik’ kepada peranti Honor X9a 5G yang tampil dengan skrin melengkung OLED.
Bagaimanapun, pada peranti kali ini rekaan skrinnya tidak melengkung tetapi jenis rata dan paling menarik dilengkapi sistem Kamera Ultra 100 megapiksel (MP) yang pada kebiasaannya dilengkapi pada peranti berharga premium.
Tambah menarik lagi ialah ia ditawarkan pada harga yang agak berbaloi dimiliki iaitu dibawah RM1,000 atau lebih tepat RM999 je.
Prebiu.com yang menjadi antara portal pertama dipelawa menguji peranti buatan Honor diberikan kesempatan menguji peranti terbaharu ini yang tampil dengan beberapa ciri istimewa seakan sebuah peranti premium.
Rekaan luaran peranti ini pasti mencuri perhatian sesiapa sahaja yang kali pertama memandangnya.
Rekaan Skrin
Peranti ini dibekalkan dengan skrin bersaiz 6.7 inci lebih besar berbanding Honor X9a bersama resolusi 2388 x 1080 piksel serta 16.7 juta warna.
Rekaan peranti ini dalam ukuran sebenar ialah 162.9mm (tinggi) x 74.5mm (lebar) dan hanya seberat 179 gram serta setebal 7.48mm yang memberikan keselesaan ketika peranti ini disimpan dalam kocek seluar.
Peranti berwarna kehijauan metalik Cyan Lake pada peranti ini kelihatan berkilau-kilau ketika terkena cahaya lampu menyebabkan anda menjadi perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.
Satu lagi ciri menarik ialah rekaan lensa tri-kamera belakangnya dibaluti kerangka yang lengkap dengan lampu flash. Sekali pandang rekaan berpetak kamera peranti ini yang nampak menonjol itu seakan sebuah peranti premium jenama utama yang berharga lebih RM5,000.
Bahagian badan belakang peranti yang sedikit kesat memberikan kelebihan kepada peranti ini dipegang dan mengurangkan kesan tinggalan cap jari atau kekotoran yang tidak dikehendaki.
Kadar segar semula standard 90Hz yang selesa memberikan kepuasan untuk melakukan apa sahaja sama ada untuk bekerja atau menonton video kegemaran kerana imej yang dipaparkan benar-benar cantik.
Selain badan peranti yang ringan dan nipis, jangka hayat bateri juga panjang dengan kapasiti 4500mAh serta disokong dengan sistem pengecasan pantas berwayar 22.5W.
Peranti ini dilengkapi dengan cip Mediatek Helio G88 (12nm) dan sistem operasi Magic UI 6.1 berasaskan Android 12.
Bateri
Antara ciri kelebihan bateri peranti ini ialah pada pengecasan tunggal, Honor X8a ini boleh memutarkan muzik sehingga 13 jam, main-balik video sehingga 13.5 jam dan melayari media sosial selama 16 jam.
Bagi anda yang gemar bermain video, fungsi peranti ini tidak mengecewakan kerana reka bentuk skrin yang kemas dengan nisbah skrin ke badan 93.6 peratus, menjanjikan pengalaman penggunaan yang menyeronokkan tanpa gangguan.
Peranti ini yang dilengkapi dua-kad sim ini turut dipadankan dengan memori 8GB dan storan dalaman 128GB yang mampu menyimpan beribu-ribu gambar.
Ciri Tri-Kamera
Menampilkan rekaan kamera seakan sebuah peranti premium berpetak menawarkan kualiti kamera yang hebat dengan spesifikasi kamera utamanya 100MP (f/1.9) + 5MP (f/2.2-lebar dan kedalaman) dan 2MP kamera makro (f/2.4) manakala kamera swafoto pula sebesar 16MP (f/2.45) dengan ciri beauty dan bokeh.
Ciri swafoto bokeh akan meningkatkan pencahayaan pada imej dan secara automatik menjadikan latar belakang kabur.
HONOR X8a ini mampu menghasilkan imej yang mengagumkan dengan kualiti hebat, selain menyokong rakaman video 1080p untuk resolusi 2388 × 1080.
Peranti ini dilengkapi sensor utama 100-Megapiksel (MP) yang mampu memberikan hasil gambar dengan kejelasan yang cukup baik dan juga butiran cukup memuaskan. Sensor makro 2MP pula dapat memberikan gambar yang mengujakan untuk merakam gambar pada jarak dekat.
Bagi mereka yang gemar berswafoto atau membuat panggilan video pula, sensor hadapan 16 MP ini sememangnya tidak mengecewakan. Ini kerana ia menawarkan kualiti gambar swafoto yang sedap mata memandang juga mempu menghasilkan tona warna kulit yang semula jadi.
Kualiti gambar yang dihasilkan apabila zoom 10 kali digunakan adalah begitu baik dan tidak timbul masalah jika mahu merakam gambar dalam keadaan biasa bersama rakan-rakan kerana gambar yang dihasilkan sudah cukup memadai.
Sebagaimana zoom 10 kali ganda bagi merakam gambar, ciri itu turut disertakan apabila mod video diaktifkan, peranti ini mampu menghasilkan rakaman video yang berkualiti tinggi.
Ciri tambahan lain yang ditawarkan untuk merakam gambar atau video ialah ciri Super Macro, Panorama, Potrait, Pro, Story, Night dan Time-lapse selain Dual-View, Story dan High-Res.
Meskipun peranti ini ditawarkan pada harga mampu milik, peranti ini tidak ketinggalan dilengkapi ciri dual-view yang mungkin menjadi kegemaran pempengaruh (instafamous) kerana pengguna peranti ini boleh membuat rakaman video sambil mengulas sesuatu produk atau kerja yang sedang dilakukan pada masa yang sama.
Storan
HONOR X8a yang ditawarkan pada harga RM999 dan menyokong penstoran dalaman 128GB, cukup untuk menampung simpanan gambar dalam jumlah piksel yang besar iaitu lebih 27,000 gambar, 11,000 lagu atau 446 video berdefinisi tinggi (HD).
Dilengkapi dengan teknologi AI (kecerdasan buatan) berperingkat industri yang mengoptimumkan imej, HONOR X8a membolehkan pengguna mengambil gambar yang jelas dengan lebih mudah.
Satu lagi ciri menarik pada peranti ini dilengkapi sistem operasi Magic UI 6.1 berasaskan Android 12 yang khusus untuk peranti mampu milik Honor ini. Ia membolehkan anda menyesuaikan peranti dengan cara yang disukai seperti semak maklumat daripada pelbagai aplikasi dengan pantas, mod tema gelap untuk penggunaan lebih selesa dan banyak lagi.
Ciri Baharu
Honor X8a juga menggunakan pengimbas cap jari pada sisi kanan peranti ini dan pada pandangan penulis, ciri itu memudahkan pengguna kerana proses menyahkunci akan lebih pantas dengan hanya perlu meletakkan jari dan peranti pintar akan di nyahkunci dengan serta-merta.
Selain pengimbas cap jari, ciri keselamatan lain ialah pengecaman muka, enam digit pin ataupun lakaran kunci pada skrin.
Selain ciri itu, pada peranti kali ini tidak disertakan dengan fungsi bicu audio 3.5mm tetapi disediakan adapter yang boleh disambungkan dengan aksesori audio seperti fon telinga atau fon kepala.
Berita baik, pengecas lengkap dibekalkan dengan setiap pembelian peranti terbaharu ini.
HONOR X8a tersedia dalam tiga warna iaitu Cyan Lake yang baru diperkenalkan, Titanium Silver mempesonakan dan Midnight Black klasik.
Kesimpulan
Meskipun berstatus ‘mampu milik’ ciri yang ada pada peranti ini hampir sama dengan ciri pada peranti kelas pertengahan dimana Honor X8a ini turut dilengkapi ciri keselamatan terkini termasuk ciri biometrik pengecaman wajah dan imbasan cap jari.
Mungkin ini adalah peranti yang mampu milik dengan ciri yang disediakan cukup berbaloi dimiliki sekali gus menjadikan anda seorang yang benar-benar kreatif apabila bermain dengan peranti ini.
Dilengkapi dengan teknologi AI yang menala suhu warna pada setiap frame, HONOR X8a meningkatkan lagi pengalaman menonton pengguna dengan warna yang benar-benar nyata.
Diiktiraf oleh Pensijilan TÜV Rheinland, peranti ini juga padat dengan teknologi cahaya biru rendah untuk mengurangkan cahaya biru yang berbahaya, sesuai untuk mereka yang menghabiskan masa lama pada paparan telefon.
Menampilkan kadar segar semula skrin sehingga 90Hz, HONOR X8a boleh memaparkan lebih banyak frame sesaat untuk pengalaman penggunaan telefon yang lebih lancar bagi memenuhi penggunaan harian pengguna.
Reka bentuk yang rata pada tepi dan salutan licin berkilauan pada panel belakang memberikan HONOR X8a rupa bergaya sambil memberi cengkaman yang selamat dan
selesa, menawarkan keseimbangan sempurna antara bentuk dan fungsi untuk
pengguna.
Mulai 11 Februari ini, HONOR X8a sudah tersedia di Kedai HONOR, kedai dalam talian HONOR, Kedai Rasmi Shopee HONOR, Kedai Flagship Lazada HONOR dan pengedar sah.
Setiap pembelian HONOR X8a akan mendapat hadiah percuma bernilai sehingga RM258 termasuk Pengecas Kereta HONOR SuperCharge dan jaminan lanjutan 1 tahun.
Untuk maklumat lanjut, sila layari kedai dalam talian HONOR di www.hihonor.com.