Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk menyediakan perkhidmatan dompet digital kepada para pelajar antarabangsa dan di luar negara yang berdaftar di UiTM, kakitangan Universiti itu dan juga kepada sejuta ahli Alumni yang masih aktif.

Dikenali sebagai Kad Prabayar Visa Merchantrade Money dengan dompet digital, kad yang berciri revolusi dan penyelesaian aplikasinya mampu memberi kemudahan kepada para pelajar dan kakitangan UiTM untuk menjalankan transaksi kewangan secara digital.

Selain itu, apabila para pelajar memilih untuk menaik taraf kepada Dompet Hibrid, mereka
dapat menikmati had gabungan dompet yang lebih besar sehingga RM50,000. Dengan saiz dompet yang lebih besar, eWallet memudahkan para pelajar menerima wang daripada ibu bapa mereka semasa berada di luar negara, atau daripada institusi luar negara.

Pengurusan wang lebih mudah dengan pemindahan dari kad ke kad yang mesra pengguna dan juga semakan baki kad terus di dalam aplikasi. Antara ciri yang diutamakan untuk mereka ialah membeli prabayar telefon mudah alih (dalam & luar negara) melalui aplikasi Merchantrade Money.

Malahan, pengguna boleh berbelanja di seluruh dunia menggunakan kad di mana-mana kedai yang menggunakan VISA atau di dalam talian.

Semua pengguna dompet digital boleh mengurus tetapan kad mereka dan menjejaki perbelanjaan secara tetap. Dengan ciri keselamatan tersedia, ia juga memberi
ketenangan fikiran kepada pengguna.

Ramasamy K Veeran, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade berkata Merchantrade sentiasa berkembang dan menerajui dalam merevolusikan industri dengan peningkatan tumpuan pada penawaran digital.

“Merchantrade berhasrat untuk membolehkan perkhidmatan kewangan yang inovatif melalui teknologi yang juga menjadikannya lebih selamat dan mudah untuk membawa dan
membelanjakan mata wang asing apabila pengguna ke luar negara,” katanya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai Universiti Terkemuka Dunia (GRU2025) telah memberikan banyak peluang kepada pihak universiti untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan organisasi dan agensi luar, dan kolaborasi ini memberikan petunjuk kepada permulaan yang cemerlang dan komitmen terhadap kerjasama ini.

“Malah, terjalinnya MoU UiTM bersama Merchantrade Asia Sdn. Bhd., warga UiTM dapat
menikmati pelbagai kemudahan terutamanya dalam pelan pengurusan kewangan digital.

Objektif utama ini merangkumi hasrat untuk mewujudkan portal pengurusan kewangan
untuk kegunaan seluruh warga UiTM untuk memudahkan proses pembayaran yuran bagi
pelajar antarabangsa, pertukaran mata wang secara digital, pembayaran tanpa tunai di
kampus-kampus UiTM dan juga pengeluaran wang tunai di seluruh dunia,” katanya lagi.

Kelebihan ciri dompet pelbagai mata wang adalah pengembara dapat memanfaat kad
digital ini semasa berada di luar negara. Mereka yang melancong boleh membeli, menjual
dan menyimpan sehingga 20 mata wang utama secara digital melalui aplikasi pada kadar
yang kompetitif.

Kad yang didayakan dengan Visa ini membolehkan pengguna membuat pembayaran tanpa tunai secara runcit dan di kedai-kedai dalam talian di seluruh dunia serta mengeluarkan wang dari mana-mana ATM Visa Plus.

Oleh itu, pengembara tidak perlu lagi membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak. Tidak dinafikan, ini adalah cara yang lebih mudah dan selamat untuk membelanjakan wang semasa pengguna mengembara, tetapi apa yang akan membuat para pengguna tertarik kepada produk tersebut ialah bagaimana Kad Prabayar Visa Merchantrade Money membolehkan mana-mana pengguna membayar dalam mata wang asing di tapak e-Dagang antarabangsa tanpa sebarang penukaran atau caj tersembunyi.

“Sebagai institusi digital bukan bank pertama yang menawarkan perkhidmatan dompet digital, kami berbangga dengan perjanjian persefahaman ini dan mengharapkan kerjasama ini membuahkan hasil, mempromosikan penyelesaian yang lebih inovatif dalam memangkinkan ekosistem perkhidmatan kewangan digital secara menyeluruh,” kata
Ramasamy.

Kedua-dua UiTM dan Merchantrade juga bersetuju untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik yang termasuk antara lain, kerjasama pengajaran,
penyelidikan, simposium, pertukaran maklumat mengenai pendidikan dan pembangunan
pelajar serta kerjasama dalam khidmat kemasyarakatan.

Perjanjian itu ditandatangani di Shah Alam oleh Profesor Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd
Janor, Naib Canselor UiTM dan Ramasamy K Veeran, Pengasas dan Pengarah Urusan
Merchantrade Asia.