Penutup tahun 2022 yang manis buat TV AlHijrah apabila stesen penyiar berkonsepkan gaya hidup Islam pertama Malaysia ini merangkul pengiktirafan Pesanan Khidmat Awam Terbaik Kategori Penyiaran pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang 2021, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Anugerah ini adalah antara bukti pencapaian serta komitmen TV AlHijrah dalam bertindak sebagai penyiar bertanggungjawab yang menyampaikan mesej secara terancang yang berkepentingan awam kepada masyarakat.

Hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah pada majlis pengiktirafan tersebut adalah Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat, Saifulizan Sidek. Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mantek.

Saifulizan berkata anugerah itu adalah pengiktirafan kepada TV AlHijrah kerana tidak pernah culas menyokong inisiatif kementerian dan agensi kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai dasar, perkhidmatan, program, aktiviti atau sesuatu isu yang berkepentingan awam.

“Anugerah ini juga adalah bukti dedikasi, semangat, dan usaha warga TV AlHijrah mendukung aspirasi pihak kerajaan sekaligus menjalankan amanah sebagai penyiar yang memartabatkan syariah serta mempromosikan nilai-nilai Islam yang turut sama giat dipromosikan oleh agensi-agensi agama di bawah naungan Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar,” jelasnya.

Saifulizan turut berkata, anugerah itu juga satu penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha dan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat melalui kandungan televisyen.

“Kita sentiasa berusaha menghasilkan kandungan-kandungan bermanfaat dan diperlukan rakyat terutama dari sudut rohani. Usaha seperti ini pastinya akan diteruskan dan anugerah ini merupakan satu motivasi kepada warga kerja TV AlHijrah,” katanya lanjut.