airasia ride, platform e-panggilan yang berkembang pesat telah mengumumkan kerjasamanya bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor e-panggilan untuk veteran tentera di Malaysia.

Kerjasama ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pasca Latihan Peralihan oleh PERHEBAT yang melatih dan membimbing veteran ATM untuk kerjaya kedua mereka setelah menamatkan perkhidmatan bersama ATM.

Melalui kerjasama ini, airasia ride dan PERHEBAT akan bekerjasama untuk menghasilkan modul latihan yang bersesuaian untuk membantu membangunkan kemampuan sara diri mereka, pengetahuan operasi e-panggilan dan pemanduan selamat. airasia ride juga akan membimbing peserta dalam proses memohon lesen dan permit yang diperlukan.

Lim Chiew Shan, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, berkata, “Kami berbangga untuk mengumumkan kerjasama ini dengan PERHEBAT dan berkhidmat kepada bekas tentera kami.

Dengan program Pemandu Sepenuh Masa kami, bukan sahaja bekas tentera dapat memperoleh pendapatan lebih, tetapi juga diberikan faedah yang lebih baik dan prospek kerjaya yang lebih baik dengan airasia.”

Pemandu sepenuh masa akan memperoleh pendapatan asas bulanan RM2,500 hingga RM3,500 termasuk faedah bahan api, dan peluang untuk memperoleh jumlah pendapatan sehingga RM8,000 dengan skim insentif pemandu tambahan, di samping faedah pekerja sebagai Allstar termasuk KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan yang melindungi pasangan dan anak mereka, cuti tahunan, dan faedah perjalanan lain seperti kadar diskaun kakitangan yang banyak untuk penerbangan AirAsia.

Selain itu, Pemandu Sepenuh Masa juga akan diberi keutamaan tugasan kerja di lapangan terbang untuk membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih daripada pemindahan lapangan terbang memandangkan permintaan pelancongan terus meningkat di seluruh rantau ini.

Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (Bersara), Pengerusi PERHEBAT, berkata, “Sebagai sebuah institusi latihan yang responsif dan dinamik, PERHEBAT sedar dan bergerak seiring dengan perubahan dan permintaan pasaran. Kami amat teruja dengan kerjasama bersama airasia ride untuk meneroka pelbagai peluang demi manfaat bersama.

Kolaborasi dengan airasia ride adalah antara inisiatif di bawah Program Pasca Latihan Peralihan untuk melatih dan membimbing Veteran ATM yang sukar mendapat pekerjaan melalui program reskilling dan upskilling”.

PERHEBAT juga berperanan memantau kerjaya kedua veteran selepas 6 bulan tamat perkhidmatan sehingga 5 tahun selepas tempoh tersebut. Veteran dibimbing melalui kaedah khidmat nasihat, coaching, mentoring serta jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Veteran yang berminat untuk menyertai airasia rider boleh mendaftar dengan PERHEBAT melalui pautan ini bit.ly/JOBSATPERHEBAT