Proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini menyaksikan seolah-olah berpesta dengan pelbagai ragam penyokong parti dan calon yang datang memberi sokongan kepada calon mereka ke pusat penamaan calon, pagi ini.
Selain jumlah penyokong yang ramai kerana fasa peralihan ke era endemik akibat COVID-19 kembali membenarkan penyokong hadir ke pusat penamaan seperti sediakala, pelbagai gelagat penyokong menarik perhatian termasuk memakai pakaian unik selain pakaian mengikuti tema warna parti.
Suasana meriah juga berlaku di Parlimen Parit (P.069) yang juga merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 – Belanja dan N.40 – Bota.
Kehadiran penyokong dilihat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu orang awam serta penyokong yang mengiringi calon, dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan yang ditetapkan.
Suasana dimeriahkan dengan laungan perang antara penyokong bagi memberi sokongan kepada calon-calon mereka selain perang bendera dan plakad meraikan perbezaan idealogi politik masing-masing.
Begitu juga penyokong melakukan perarakan calon dengan konvoi kenderaan, turut memeriahkan suasana.
Dalam keghairahan penyokong, kelihatan juga yang memakai pelitup muka bagi mengelak penularan COVID-19 yang masih belum berpenghujung, seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.