Tarikh penamaan calon menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 5 November depan yang semakin hampir melihatkan banyak kerusi masih menjadi tanda tanya khususnya kepada Barisan Nasional (BN).

Antaranya yang menjadi perhatian adalah kerusi yang bakal ditandingi oleh Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi.

Asyraf dilihat masih mencari-cari kerusi untuk ditandingi. Walaupun ada yang menyebut beliau berkeinginan untuk mendapatkan kerusi Putrajaya bagi berlawan dengan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang juga berkelahiran Kelantan, namun sayangnya tiada tanda-tanda ia akan dipersetujui oleh penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Manakala Norliza turut dikaitkan bakal diturunkan sebagai memenuhi tuntutan kuota 30 peratus calon Wanita seperti yang dijanjikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tasek Gelugor adalah kawasan yang disebut-sebut sesuai untuk tokoh korporat ini dan calon paling layak terutama untuk merealisasikan tuntutan pembangunan separuh bandar kawasan tersebut.

Namun seperti Asyraf, Norliza turut bersaing rapat dengan ketua bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor. Beliau juga merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan Norliza adalah calon yang kuat dan dijangka mampu meraih kemenangan mengikut formula ‘wali’ yang sering ditekan oleh Presiden UMNO untuk memenangi kerusi tradisi BN sebelum beralih kepada Perikatan Nasional (PN) akibat lompat parti.

Katanya, kerusi Tasek Gelugor adalah satu kerusi yang agak panas. Jika dilihat dari demografi di kawasan itu terlihat keseimbangan antara parti-parti yang wujud hari ini.

“Dalam PRU lepas, walau kerusi ini dimenangi UMNO tetapi kemenangan yang sangat tipis iaitu dengan majorti 81 undi sahaja,” katanya.

Datuk Shabudin Yahaya memperoleh 18,547 undi meninggalkan lawan iaitu Marzuki Yahya (PKR) dengan 18,466 undi dan Rizal Hafiz Ruslan (Pas) dengan 14,891 undi.

Dan kecoh pula bahawa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dikatakan bakal bertanding di Parlimen tersebut.

“Saya fikir Norliza jika diletakkan sebagai calon yang mempunyai kelebihan kerana biasanya wanita ini akan dapat simpati dari kaum wanita dan pengundi lelaki dan sekiranya Norliza seorang yang sentiasa ada di padang, di lapangan, saya fikir beliau akan dapat sokongan.

“Harus diingat Tasek Gelugor dianggap kawasan kritikal. Ia membuka peluang yang lebih besar  kepada mana-mana parti yang mempunyai strategik yang baik kerana berkemungkinan akan berlaku persaingan tiga penjuru.

“BN perlu letakkan calon yang boleh menang. Kalau letakkan calon yang tidak popular atau tidak digemari pengundi mungkin susah mahu menang,” ujarnya.

Senada dengan pandangan itu, Dekan dan Pensyarah Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani berharap mana-mana parti yang meletakkan faktor kemenangan di kerusi berkenaan perlu mengutamakan yang dekat dengan rakyat untuk memberikan mereka kelebihan walaupun tipis.

“Tasek Gelugor adalah kerusi panas. Kemenangan Shabudin ke atas Pakatan Harapan (PH) sangat tipis pada tahun 2018 dan kemenangan ke atas Pas pada 2013 juga sengit,” jelasnya.

Jadi, sama ada Asyraf mahupun Norliza, diharap barisan kepimpinan UMNO dapat berfikir dan membuat keputusan berdasarkan populariti dan juga kerja keras sekiranya mahu terus mengekalkan kemenangan.