Kesedaran orang ramai mengenai aspek pencegahan jenayah amat penting dalam usaha mengekang kejadian jenayah yang tiada sempadan khususnya dalam era digital ketika ini.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Terengganu, Dato Dr Ahmad Marican berkata, program Town Hall – Scammer Semakin Bijak” merupakan antara usaha MCPF untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya berkaitan bahaya jenayah siber yang terus meningkat saban hari.

“Matlamat utama ialah supaya orang ramai tidak mudah terjebak dengan penipuan scammer dalam talian yang telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

“MCPF negeri Terengganu akan terus mempertingkatkan usaha khususnya dalam menggerakkan aktiviti memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai aspek pencegahan jenayah yang kini semakin kompleks tanpa mengenal sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Town Hall – ‘Scammer Semakin Bijak’ di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, semalam.

Beliau yang juga Profesor Adjung UMT menegaskan, penganjuran program itu dirancang dan dilaksanakan dengan kerjasama erat agensi-agensi kerajaan lain terutama sekali Ibu Pejabat Kontingen Polis (IPK) Negeri Terenggganu dan UMT.

Menurutnya, program itu merupakan aktiviti pertama sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi MCPF Terengganu pada tahun ini.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 14 individu dilantik sebagai ahli perhubungan MCPF Negeri Terengganu, bagi menggerakkan aktiviti peringkat Negeri dan Daerah di Negeri ini.

Antara yang dilantik ialah Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor. Penyampaian sijil lantikan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Komisioner Polis, Dato Aidi Ismail, mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seramai kira-kira 3,000 orang hadir pada majlis berkenaan yang terdiri daripada anggota-anggota PDRM seluruh Terengganu, anggota Bomba dan Penyelamat, para belia, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan serta para pensyarah dan pelajar-pelajar UMT.

Hadir sama, Prof Teknologi, Dr Mohd Zamri Ibrahim yang juga Timbalan Naib Canselor UMT Akademik dan Antarabangsa; Dato Sri Wira Ayub Yaakub, Naib Pengerusi Kanan MCPF Pusat dan Dato Wan Rukman Wan Hassan, Timbalan Ketua Polis Terengganu.