Sejak kebelakangan ini, trend pemakaian jam tangan pintar semakin berubah dan berinovasi serta tidak hanya bergantung kepada sensor yang terbina semata-mata.

Malah inovasi yang dimaksudkan amat memberi manfaat kepada pengguna masa kini yang amat bergantung penuh dengan gajet pintar dan kadang-kala seolah-olah mengambil peranan sebagai salah satu alat pemantauan kesihatan yang berguna.

Terbaharu, Samsung memperkenalkan generasi terkini jam pintar Galaxy Watch5 yang mana sistem operasi Wear OS 3.5 dibangunkan bersama dengan Google dengan pelancar baharu OneUI 4.5.

Siri Samsung Galaxy Watch5 diperkenalkan secara rasminya di acara Samsung Galaxy Unpacked 2022. Ia ditawarkan dalam dua model berbeza yang merangkumi Galaxy Watch5 dan Galaxy Watch5 Pro dengan reka bentuk diperbaharui dan peningkatan fungsi yang menarik.

Kaca Sapphire Crystal digunakan untuk pelindungan lebih baik, tetapi tiada bezel berputar yang disertakan pada kedua-dua model kali ini menjadikannya lebih elegan.

Rekaan luaran

Rekaan luaran peranti terbaharu ini kelihatan cantik dengan potongan paparan muka jam yang lebih halus disadur dengan kerangka jam berwarna perak menjadikan sipemakai sentiasa kelihatan trendy.

Samsung Galaxy Watch5 ditawarkan dalam saiz 40mm dengan skrin 1.2-inci (369 x 369 piksel) dan 44mm dengan saiz 1.4-inci (450 X 450 piksel).

Skrin peranti jam pintar ini adalah sejenis Super AMOLED dengan paparan berwarna dan sokongan sesentuh. Pada bahagian kanan dilengkapi dua butang fizikal pada sisi kanan dengan tali sejenis silikon ringkas.

Unit yang diuji Prebiu.com dilengkapi tali silikon berwarna unggu muda manakala paparan badan jam adalah berwarna perak.

Apa yang menarik ialah jam ini dijana oleh cip Exynos W920 dengan memori 1.5GB RAM dan storan 16GB. Bateri yang digunakan pula 13% lebih besar berbanding Watch4 menerusi kapasiti 284mAh (40mm) dan 410mAh (44mm).

Sistem pengecasan yang disokong juga 30% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya dengan tahap pengecasan mencapai 45 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.

Jika anda risau peranti ini tercalar, jangan bimbang kerana jam pintar ini 60 peratus lebih tahan lasak dengan ciri kalis calar yang dipertingkatkan menerusi penggunaan kaca kristal Sapphire.

Ciri Baharu

Jam ini dilengkapi beberapa sensor seperti pengimbas nadi, oksigen dalam darah, tekanan darah, ECG dan GPS. Penjejakan sehingga 40 jenis senaman secara automatik boleh dilakukan bersama dengan menjejak pola tidur lengkap dengan pengesanan dengkur bagi menyukat kualiti tidur.

Justeru, beberapa sensor terbina mampu membantu pengguna untuk memantau tahap kesihatan termasuk – SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, kadar denyutan jantung dan banyak lagi.

Ciri baharu yang diperkenalkan kali ini ialah mengukur tahap stress (tekanan). Tekan sahaja menu yang sudah tersedia bina pada muka jam dan ia akan memberikan keputusan dalam tempoh beberapa saat dalam bentuk warna.

Jika warna merah maka tinggi tahap tekanan seseorang itu dan sebaliknya hijau maka stress anda itu tidak terlalu tinggi.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan jam pintar ini sebagai peranti menjawab panggilan telefon apabila ia dihubungkan terus dengan telefon pintar anda.

Selain itu, ia beberapa tetapan pada telefon juga boleh dipindahkan ke jam seperti jam penggera atau gambar-gambar yang disimpan didalam telefon anda.

Jika mahu mendengar muzik, sambungkan sahaja fon telinga terbaharu Galaxy Buds Pro pada jam pintar ini sekali gus memudahkan anda melakukan aktiviti harian dengan selesa.

Selain dilengkapi sensor pengimbas nadi, oksigen dalam darah, tekanan darah, tahap stress, NFC dan GPS, penjejakan pelbagai jenis senaman secara automatik dan menjejak pola tidur yang lengkap dengan pengesanan dengkur turut disertakan.

Paling mengujakan ialah peranti ini dilengkapi ketahanan 5ATM + IP68 yang membuatkannya kalis percikan air dan lasak untuk apa jua aktiviti yang anda lakukan.

Sokongan Google Assistant

Peranti pintar ini turut hadir dengan beberapa ciri muka jam baharu bertemakan flora dan fauna, malah jika memilih paparan muka jam AR Emoji atau Bitmoji, paparan emoji itu  akan bergerak-gerak menghasilkan pelbagai reaksi yang menyeronokkan seakan-akan menonton kartun.

Sokongan kepada Google Assistant membolehkan pemakai menyebut beberapa perkataan bagi mendapatkan sebarang bantuan daripada Google.

Selain itu, beberapa ciri khusus untuk pengguna kurang upaya seperti golongan OKU penglihatan turut ditambahkan. Pengguna jam Galaxy Watch5 juga turut boleh menggunakan aplikasi SoundCloud dan Deezer serta menggunakan arahan suara untuk mengawal Google Maps.

Skrin AMOLED Samsung memang sudah diketahui umum terbaik di pasaran. Warna nampak hidup dan jelas, setiap sentuhan pada paparan skrin berfungsi dengan baik dan penggunaan di bawah matahari terik tidak mendatangkan sebarang masalah.

Butang kuasa dan back terletak di sisi kanan diperbuat daripada logam yang kukuh. Dua butang ini juga berfungsi sebagai titik sentuh untuk menggunakan sistem Body Composition yang mengukur peratusan lemak serta otot tubuh pemakai yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

Proses tambatan adalah semudah memastikan jam diaktifkan bersebelahan telefon pintar yang ingin digunakan. Pastikan aplikasi Samsung Wearable terkini dipasang terlebih dahulu.

Apabila aplikasi ini sudah diaktifkan, anda boleh mengawal sebarang ketetapan pada telefon pintar termasuk memilih paparan muka jam atau memindahkan gambar kesayangan anda pada jam ini.

Kustomasi muka jam juga boleh dilakukan dengan mudah khususnya apabila mahu menukar warna latar belakang, paparan digital, reka huruf dan apakah data yang ingin dipaparkan.

Ini mungkin dalam bentuk tahap bateri, jumlah tapak, degupan jantung, cuaca dan banyak lagi. Terdapat ratusan kombinasi boleh dipilih menghasilkan muka jam yang unik untuk setiap pemakai.

Pengalaman menyeronokkan

Apa yang menarik pada jam pintar ini ialah ciri Wear OS membolehkan anda menyambungkan kesemua aplikasi Google seperti kalendar, peta, pesanan emel Gmail kepada jam pintar ini. Ciri ini membolehkan anda memiliki ciri akses penuh tanpa perlu bergantung kepada telefon anda.

Apa yang menarik ialah anda juga boleh memilih dan memainkan lagu kegemaran daripada Spotify atau YouTube Music terus daripada jam ini.

Satu lagi kelebihan memiliki jam pintar ini ialah anda boleh menukar wajah jam digital ini setiap hari samada digital atau analog, menukar warna latar belakang mengikut mood anda. Kesemua ini boleh dilakukan menerusi aplikasi Galaxy Wearable.

Kesimpulan

Secara peribadi, jam pintar terbaharu Samsung ini memiliki banyak ciri baharu yang mampu melengkapi pengguna masa kini yang bukan sahaja mementingkan kesihatan malah tampil bergaya.

Galaxy Watch5 adalah jam tangan terbaik daripada Samsung setakat ini. Walaupun mengekalkan spesifikasi yang sama, beberapa ciri tambahan tahun ini akan membuatkannya jam tangan Wear OS yang paling lengkap sifat untuk mereka yang inginkan keseimbangan ciri dan juga ketahanan bateri yang baik.

Pada tanda harga RM1,099, bagi varian 40mm Samsung Galaxy Watch5 ini sedikit tinggi berbanding model jam terdahulu. Bagaimanapun, dengan segala ciri yang dipadankan, harga berkenaan dianggap berbaloi bagi mereka yang benar-benar menghargai jam tangan pintar.

Peranti bercirikan premium ini amat sesuai digunakan setiap hari dan saiz paparan yang besar memberi kelebihan kepada mereka yang aktif bersukan kerana ia mudah dilihat tidak kira pada waktu siang atau malam.

Samsung Galaxy Watch5 ditawarkan dengan warna Graphite, Pink Gold dan Silver untuk variasi 40mm manakala variasi 44mm pula tersedia dalam warna Graphite, Sapphire dan Silver dijual pada RM1,199.