Agrobank sebagai peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai di Malaysia, hari ini melancarkan Kempen Bulan Kemerdekaan #AgrobankTeguhBersama bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-65.
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, seawal penubuhan pada tahun 1969, #AgrobankTeguhBersama Malaysia, kekal komited secara aktif dalam mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya menawarkan pelbagai produk dan solusi kewangan patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, pengguna, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro dan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara sejak lebih 50 tahun yang lalu.
“Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan disambut tidak lama lagi, Agrobank amat teruja untuk turut sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik yang telah disusun khas di peringkat Bank mahupun peringkat kebangsaan, sepanjang 16 Ogos – 16 September 2022.
“Sebagai contoh, pada 18 Ogos yang lalu, Agrobank telah menaikkan bendera gergasi Malaysia berukuran 100 x 150 kaki di bangunan Menara Agrobank yang boleh dilihat secara jelas dari Dataran Merdeka,” katanya ketika ditemui di acara simbolik pelepasan (flag off) kontinjen Agrobank yang akan turut serta dalam acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.
Penyertaan kontinjen daripada Agrobank seramai 60 orang bersama 30 kereta klasik, satu kerjasama bersama Akash Classic Malaysia dengan penyertaan daripada Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia dan Malaysia & Singapore Vintage Car Register; dalam acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada pada 31 Ogos ini.
Ia secara simboliknya adalah bagi memperingati peristiwa bersejarah di mana Tunku Abdul Rahman bersama Tun Tan Cheng Lock dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Abdul Wahab Abdul Aziz yang telah diarak menggunakan kereta klasik model ‘Nash Rambler Custom Convertible 1951’ pada Majlis Sambutan Kepulangan Rombongan Merdeka dari London, di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 yang telah merintis kepada detik bermakna, Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.



































