Seakan menjadi satu tradisi bagi Samsung, pengeluar peranti terkemuka dari Korea Selatan ini terus memperkenalkan dua peranti skrin boleh lipat terbaharu dengan kedua-duanya memiliki ciri kalis air dan tahan lasak serta paling penting bateri lebih besar.

Pengenalan Samsung Z Fold 4 dan Samsung Galaxy Z Flip4 baru-baru ini boleh dianggap kesinambungan kepada peranti terdahulu yang menjadi perintis kepada telefon pintar jenis skrin lipat yang pernah popular satu ketika dahulu.

Menurut Samsung, pada tahun lalu, Galaxy Z Flip3 muncul peranti skrin boleh lipat dengan jualan tertinggi berbanding Galaxy Z Fold3.

Kedua-dua peranti adalah telefon pintar boleh lipat premium yang dibina dengan hasil rekaan dan inovasi andalan yang digemari dan diharapkan oleh pengguna Samsung.

Peranti generasi keempat yang menentukan kategorinya tersendiri ini menggabungkan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung—menjadikannya lebih tahan lama dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.

Apa yang menarik pada peranti sebesar tapak tangan Z Flip4 kali ini? Tentu sekali tampil dengan warna baharu namun tidak banyak perubahan besar daripada segi luaran pada peranti ini tetapi lebih menekankan kepada aspek komponen dalaman.

Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasinya lebih baik dengan beberapa ciri yang dinaik taraf daripada model Z Flip3 yang diperkenalkan tahun lalu.

Rekaan Luaran

Peranti seberat 187 gram ini secara kasarnya memiliki saiz luaran 84.9 x 71.9 x 15.9-17.1 mm ketika dalam kedudukan lipat, cukup sesuai untuk disimpan dalam kocek seluar atau dalam beg dompet golongan wanita yang mahukan kelainan dalam penampilan.

Galaxy Z Flip4 dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik lagi bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Pada panel luaran pula terdapat skrin mini sebesar 1.9″ SAMOLED yang masih dikekalkan sebagaimana model tahun lalu.

Apa yang menarik ialah skrin luaran ini menggunakan kaca Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lasak menentang hentakan sekali gus memberikan kelebihan sekiranya peranti ini tiba-tiba terjatuh atau terlepas daripada gengaman tangan.

Skrin luaran ini juga boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi penting, membaca mesej, menjadi skrin untuk swafoto dan hadir dengan widget untuk mengakses beberapa tetapan penting. Mudah bukan!

Sekiranya anda memiliki jam pintar Galaxy Watch, paparan pada imej skrin luaran ini boleh dipadankan dengan skrin pada tangan pintar terkini dengan Wear OS ini.

Seperti peranti Z Fold 4, bahagian sisi kini lebih rata dengan bahagian engsel dikemaskini bagi membolehkan peranti mempunyai saiz fizikal lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Inovasi Skrin

Skrin boleh-lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca Ultra Thin Glass (UTG) generasi terbaru.

Skrin peranti ini turut menyokong mod HDR10+ untuk aplikasi seperti Netflix dan YouTube. Kandungan nampak terang dan jelas ketika digunakan untuk tempoh masa yang pendek.

Bagaimanapun, apabila peranti ini dibuka, pengguna masih boleh jelas melihat kesan lipatan namun pada pandangan penulis isu berkenaan tidak perlu menjadi isu utama kerana apa yang penting ialah saiz mininya sebesar tapak tangan cukup selesa disimpan dalam kocek atau beg tangan wanita.

Menurut Samsung, peranti ini sudah menjalani ujian itensif di makmal dengan sehingga 200,000 kali dibuka dan ditutup tanpa sebarang kerosakan.

Rekaan Luaran

Permukaan peranti belakang dan bahagian sisinya diperbuat daripada bahan aluminium tahan lasak manakala saiz engsel serta bezel telah diubah pada Z Flip4 apabila kelihatan dikecilkan apabila dilihat pada mata kasar sekali gus menjadikan peranti ini lebih ringan digengam dalam tangan.

Samsung Galaxy Z Flip4 dilengkapi cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 3700 mAh. Pengecasan berwayar telah ditingkatkan kepada 25W dengan nirwayar pula 10W dan pengecasan berbalik 4.5W.

Ciri terdahulu seperti Flex Mode masih dikekalkan untuk membolehkan peranti ini diletakkan pada permukaan meja untuk tujuan telesidang tanpa sokongan atau kerangka khas.

Dalam suasana dimana semua rakyat Malaysia kini hidup dalam endemik dikelilingi wabak COVID-19, dan budaya telesidang bagi yang “bekerja dari rumah” sudah menjadi kebiasaan, kelebihan pada peranti ini boleh diletakkan di atas meja dalam kedudukan huruf L bagi memudahkan proses mengambil swafoto atau mengadakan persidangan video menerusi aplikasi Webinar Zoom.

Speaker stereo dibekalkan lengkap dengan sokongan audio Dolby Atmos. Kekisi audio di bahagian bawah dipadankan dengan speaker lebih kecil di gagang telinga. Dalam konfigurasi ini audio tidak begitu terang dengan speaker bawah jelas lebih lantang.

Ciri Kamera

Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dengan dilengkapi sistem OIS.

Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera dan RAM berbanding Z Flip3 5G tahun lalu manakala zum secara digital sehingga 10X.

Namun apa yang menarik pada ciri baharu peranti ini ialah Flex Cam yang mana peranti boleh dipegang seperti sebuah kamera video camcorder klasik ketika merakam video.

Ciri Kelebihan

Galaxy, Z Flip4 masih kekal dilengkapi dengan ciri IPX8  menjadikannya kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan ataupun peranti ini terjatuh dalam air.

Kedua-dua peranti ini juga dibina menggunakan bahan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy—berserta Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Peranti ini sudah mula dibuka untuk pra tempahan bermula 10 Ogos sehingga 1 September. Mereka yang menempah dalam tempoh ini akan menerima baucar bernilai RM450, kerangka pelindung Flap Leather serta perlindungan Samsung Care+ untuk 1 tahun jaminan tambahan dan perlindungan skrin.

Empat warna menarik ditawarkan iaitu Bora Purple, Graphite, Pink Gold dan Blue.

Untuk makluman pembaca, pada tahun ini buat pertama kalinya, Samsung memperkenalkan Z Flip4 edisi Bespoke kepada pengguna di Malaysia. Sebelum ini edisi Bespoke hanya ditawarkan kepada pengguna di Korea Selatan dan Amerika Syarikat sahaja.

Pilihan lima warna untuk panel atas, lima warna untuk panel bawah dan tiga warna untuk bingkai serta engsel ditawarkan kepada pelanggan.

Versi ini akan dijual pada harga yang lebih premium berbanding Z Flip4 biasa dan pelanggan perlu menunggu antara 4-6 minggu sebelum peranti tiba di tangan.

Harga Jualan Samsung Galaxy Z Flip4

RM4,099 (8/128GB)
RM4,399 (8/256GB)
RM4,899 (8/512GB)
RM4,599 Bespoke Edition (8/256)

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy Z Flip4 ini.