GoCar Malaysia, peneraju platform mobiliti sebagai perkhidmatan berdasarkan kepada permintaan hari ini mengumumkan kolaborasi dengan Green EV Charge – sebuah syarikat kerjasama di antara Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd dan GreenTech Malaysia Alliances Sdn. Bhd.

Matlamat kerjasama itu adalah untuk meningkatkan kemudahan pengecasan EV di seluruh
negara dengan mengintegrasikan platform mudah alih chargEV dengan aplikasi GoCar.

Kerjasama itu membolehkan ahli GoCar dan pengguna EV lain mendapatkan akses lebih mudah dan ketersambungan lebih baik ke atas semua stesen chargEV secara langsung daripada aplikasi GoCar tanpa perlu menukar platform.

chargEV merupakan rangkaian pengecasan EV terbesar di Malaysia dengan lebih 400 stesen di seluruh negara.

Fasa pertama integrasi itu akan membolehkan pengguna aplikasi GoCar untuk melihat lokasi, kebolehdapatan dan jenis pengecas dalam rangkaian chargEV.

Penambahbaikan pada fasa seterusnya adalah integrasi seperti pra-tempahan pengecas EV, menjadualkan pengecasan, membuat pembayaran dan memantau proses mengecas.

Kolaborasi dengan Green EV Charge merupakan usaha terkini GoCar untuk mengembangkan akses pengalaman EV kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Syarikat baru-baru ini bekerjasama dengan EV Connection untuk menawarkan pengguna
aplikasi GoCar kepada lebih banyak stesen pengecasan dalam rangkaian JomCharge.

Syarikat juga telah mengembangkan perkongsian serta langganan GoEV yang kini
merangkumi model-model seperti Nissan Leaf, Hyundai Kona E-Max dan E-Lite. Ia mensasarkan untuk menambahnya kepada lebih 100 unit EV menjelang tahun 2022.

Menerusi GoEV, ahli GoCar boleh merasai pengalaman memandu sebuah EV selama sejam, sehari atau sebulan, malah setahun hingga tiga tahun. Berdasarkan kepada data yang dikumpul hingga ke hari ini, daripada 1,000 pengguna GoEV yang telah mencatat perjalanan lebih 500,000km, 90 peratus merupakan pengguna EV kali pertama.