Maybank Islamic Berhad hari ini telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.16 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan 2021.

Agihan zakat perniagaan ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat perniagaan Maybank Islamic sebanyak RM8.94 juta yang telah diagihkan kepada seluruh
Pejabat Agama Islam di Malaysia.

Penyerahan zakat telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji
Misnu Haji Taha dan disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas di pejabat rasmi Premier Sarawak di Kuching, Sarawak.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Global, Dato’ Muzaffar Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Dato’ John Chong, dan Pengarah Wilayah Sarawak Abang Jamili Abang Julai.

Bercakap di majlis penyerahan zakat, Khairussaleh berkata bahawa perintah kawalan
pegerakan yang berpanjangan susulan penularan wabak COVID-19 telah banyak memberi
kesan negatif ke atas kebajikan keluarga di Malaysia, terutama sekali di kalangan golongan
rentan yang sememangnya sudah mengalami kekangan kewangan walaupun sebelum
pandemik.

“Dengan penyerahan zakat ini, kami di Maybank percaya ianya dapat sedikit sebanyak
membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan dan meneruskan kelangsungan
hidup mereka.”

Beliau berkata, usaha ini seiring dengan pelan lima tahun Maybank, M25 iaitu untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan demi mencapai pertumbuhan mampan dengan tumpuan untuk memperkasakan komuniti untuk kemajuan inklusif serta memimpin melalui teladan dengan amalan tadbir urus yang baik.

Dari tahun 2018 sehingga 2022, Maybank Islamic telah mengagihkan zakat berjumlah RM5.9 juta kepada Baitulmal Sarawak. Dalam tempoh yang sama, Maybank Islamic bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO), juga melaksanakan program sosial dan komuniti di Sarawak dengan dana zakat berjumlah RM1.48 juta yang telah memanfaatkan lebih 23,000 orang penerima zakat.

“Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan peluang kepada masyarakat, termasuk
golongan asnaf dalam membentuk kehidupan masyarakat yang makmur dan berkembang dengan mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan setiap tahun di seluruh
negara melalui program tanggungjawab sosial korporat kami.

“Melalui program sebegini, ia bukan sahaja dapat menggalakkan kemampanan kewangan sosial dalam kalangan masyarakat Islam, malah juga boleh mengoptimumkan potensi dan keberkesanan zakat serta membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global ” kata Dato’ Mohamed Rafique Merican.

Antara program zakat tersebut adalah program tahunan pengagihan bekalan makanan di
bulan Ramadan, bantuan zakat kepada pelajar asnaf di pusat pengajian tinggi Sarawak,
program daie’ dan komuniti untuk asnaf mualaf dan program air, sanitasi dan kebersihan di
sebuah kampung di Serian.