Buat pertama kali dalam sejarah, Oppo memasuki pasaran Malaysia dengan mempertaruhkan peranti terbaharu iaitu tablet menerusi Oppo Pad Air yang dilengkapi spesifikasi yang tinggi.
Melihat kepada rekabentuk luarannya, tablet seberat 440 gram dan senipis 6.94 milimeter (mm) ini hadir dengan skrin 10.36-inci (245.08 x 6.94 x 154.84 mm) menggunakan panel LCD, dan menawarkan resolusi 2K 1 bilion warna yang memenuhi spesifikasi TÜV Rheinland Eye Comfort Certification, yang memberikan pengalaman menonton yang selamat untuk mata.
Apa yang menarik ialah tablet ini dilengkapi cip Snapdragon 680 dan pemprosesor 8-core 6nm, memori sehingga 4GB RAM, dan storan sehingga 128GB dengan kadar segar semula standard 60Hz.
Peranti ini juga dilengkapi bateri 7100mAh dengan pengecasan 18W menggunakan kabel USB Type-C dan disokong sistem bunyi audio Dolby Atmos, disamping melengkapkan ia dengan ColorOS berasaskan Android 12.
Tidak ketinggalan, ciri kamera belakang 8MP dan kamera hadapan pula 5MP yang dipadankan dengan beberapa ciri sebuah kamera telefon pintar seperti Potrait, time-lapse, text scanner dan video.
Terdapat dua bezel di sebelah kanan yang berfungsi sebagai kawalan audio bunyi manakala satu lagi bezel tunggal untuk kawalan butang penghidup dengan enam lubang audio siap tertera tulisan Dolby Atmos. Manakala pada sisi berhampiran kamera hadapan dilengkapi slot kad sim dan kad memori.
Ciri bunyi pembesar kuad – Dolby Atmos – symmetrical stereo mampu mencipta bunyi seakan persembahan pentas yang membawakan pendengar pengalaman pada tahap paling tinggi.
Panel belakang rekaan tablet ini diperkemaskan lagi dengan kemasan berjalur berbeza mengikut variasi warna yang ditawarkan.
Menurut Oppo, peranti ini akan dipasarkan sebagai sebuah tablet nipis dan ringan.
Jika anda memang sudah terbiasa menggunakan telefon pintar Oppo, sudah tentu tidak menjadi masalah menggunakan tab ini kerana ciri yang ada dalam tablet ini hampir sama dengan telefon cuma bezanya hanyalah saiz skrin yang besar.
Perkara yang mungkin boleh diberi perhatian ialah kepelbagaian fungsinya, praktikaliti, bateri tahan lebih lama, ringan dan sistem kamera yang berfungsi seakan sebuah telefon pintar.
Kesempatan Prebiu.com menguji tablet terbaharu Oppo Pad Air ialah rekaan luarannya yang dilengkapi skrin 10.36 inci LCD sudah cukup memadai sebagai sebuah tablet yang dipasarkan pada harga yang mampu milik.
Peranti ini dipadankan dengan bateri sebesar 7,100 mAh yang mampu membekalkan kuasa kepada peranti sehingga 10 jam dan boleh dicas pantas menerusi port USB-C.
Apa yang menarik mengenai tablet ini dilengkapi ciri keselamatan untuk mengakses skrin seperti meleret paten atau pengecaman wajah dalam skrin. Enam pembesar suara pada sisi peranti pula dilengkapi sistem audio Dolby Atmos dan juga menyokong rangkaian bluetooth 5.1.
Ciri Kamera
Adakah gambar yang dirakam menggunakan tablet ini secantik telefon pintar? Ketika dicuba, anda perlu bersabar sedikit kerana tablet perlu dipegang dengan berhati-hati disebabkan saiznya yang sedikit besar.
Namun hasilnya boleh dikatakan berpada walaupun ciri fokus autonya sedikit lambat namun memberikan hasil terbaik jika tahap pencahayaan yang mencukupi. Ciri fokus zum pada kamera tablet ini hanya 8 kali ganda dan jika sekadar gambar biasa sudah memadai menggunakan kamera utama hanya 8MP.
Mahukan gambar lebih cantik guna sahaja telefon pintar dan pindahkan gambar yang diambil itu ke dalam tab untuk tujuan suntingan mahukan menghasilkan klip-klip menarik.
Rakaman video pula jelas dan stabil manakala kamera hadapannya atau swafoto sebesar 5 MP boleh dianggap cukup terbaik jika menggunakannya untuk tujuan persidangan video secara dalam talian.
Meskipun tablet ini boleh disambungkan terus dengan kad sim dan WiFi, ketahanan baterinya bertahan pada tahap yang baik meskipun menggunakan paparan beresolusi tinggi dan masa untuk mengecas menggunakan pengecasan pantas 18W hanya mengambil masa kira-kira 4 jam untuk mencapai kapasiti penuh.
Kesimpulannya
Menerusi tablet ini, Oppo menawarkan peranti dengan kemampuan setanding telefon pintar tetapi dengan skrin lebih besar namun kemampuan kamera yang lebih rendah iaitu 8MP.
Untuk pasaran Malaysia, Oppo Pad Air ditawarkan dengan warna Fog Grey pada harga RM1,099 bagi versi (4GB + 64GB) dan RM1,299 (4GB + 128GB). Pra tempah bermula dari 21 Julai hingga 29 Julai secara dalam talian.
Bagi pra tempah versi 4GB + 64GB boleh didapati di jualan dalam talian rasmi Oppo dan Shopee manakala bagi varian 4GB +128GB di jualan dalam talian rasmi OPPO, Shopee dan Lazada.
Secara keseluruhannya, tablet Oppo Pad Air ialah sebuah tablet yang menyediakan pilihan kepada pengguna masa kini yang mahu mencari kelainan dalam menguruskan keperluan seharian samada bagi tujuan kerja atau santai.
Ini kerana penggunaan tablet kini tidak terhad kepada urusan kerja semata-mata tetapi boleh dijadikan pilihan untuk menonton video sama ada secara penstriminan atau memuatnaik aplikasi kegemaran anda.
Untuk memuat turun pelbagai aplikasi popular dari Play Store, tidak menjadi masalah kepada peranti ini malah menonton boleh menonton Netflix pada resolusi HD dengan lancar.
Oppo Pad Air juga sesuai digunakan oleh anak-anak yang bersekolah untuk melihat kerja rumah yang diberikan menerusi Google Classroom, mengakses kelas tuisyen secara atas talian, dan menjadi menonton video YouTube Kids.