Selepas kejayaan memperkenalkan fon telinga, Oppo Enco X2 yang dilancarkan secara rasmi pada 18 Mei 2022, Oppo sekali lagi mempertaruhkan fon telinga terbaharu Oppo Enco Air2 Pro.

Fon telinga itu diperkenalkan seiring dengan pelancaran telefon pintar terbaharu Siri Reno8 5G dan tablet pertama, Oppo Pad Air.

Fon telinga Oppo Enco Air2 Pro tampil dengan beberapa ciri utama seperti menyokong pembatalan hingar aktif dan ketahanan bateri mencapai 28 jam lamanya.

Paling menarik rekaan fon telinga dalam telinga bertangkai bersama pod pengecas berbentuk bujur.

Ia turut didatangkan dengan dua mikrofon terbina yang mampu mengurangkan hingar untuk pengalaman panggilan lebih baik.

Peranti ini turut menyokong teknologi Smart In-ear Detection yang membolehkan audio berhenti dimainkan secara automatik apabila fon telinga tidak digunakan.

Kemudian, audio dimainkan semula apabila fon telinga digunakan. Spesifikasi lain yang menyokong termasuklah penarafan kalis air IP54, tambatan pantas menerusi bluetooth 5.2, mod kawalan sesentuh terbina dan sebagainya.

Rekaan

Peranti ini hadir dengan rekaan fon telinga jenis bertangkai yang lengkap dengan putik silikon.

Prebiu.com yang menerima unit fon telinga berwarna putih untuk tujuan reviu ini cukup teruja apabila dipelawa untuk mengujikannya bersama dengan tablet pertama, Oppo Pad Air yang juga dilancarkan pada tarikh sama.

Pada pandangan mata kasar, peranti dan pod pengecas ini diperbuat sepenuhnya daripada bahan plastik yang berkilat sekali gus kelihatan premium, moden serta bergaya.

Sambungan magnetik yang mengekalkan putik dalam pod simpanan adalah cukup kuat untuk mengelakkan ia dari mudah terjatuh tetapi tidak sehingga sukar untuk ditarik keluar.

Rekaan putik telinga juga amat selesa dan ergonomik manakala tangkai yang sederhana panjang memudahkan putik Enco Air2 Pro dikeluarkan dari telinga apabila diperlukan.

Pada tangkai yang sama terdapat sensor gestur dengan beberapa sentuhan mudah untuk mengawal peranti ini daripada segi kawalan bunyi atau menjawab panggilan telefon.

Ketika penulis mencuba peranti ini, ia amat mudah dimasukkan ke dalam telinga mungkin disebabkan oleh badannya bulat dan licin.

Putik Enco Air2 Pro ini juga amat ringan ketika dipakai dan terdapat dua lagi komponen silikon pelbagai saiz yang ditawarkan bagi setiap pembelian jika anda berasa tidak selesa pada lubang telinga.

Sistem bunyi hebat

Enco Air2 Pro dilengkapi sistem bass ultrasonik generasi terkini dan sistem bass yang lebih hebat daripada generasi terdahulu yang memberikan pengalaman audio yang lebih baik kerana mengasingkan audio berfrekuensi rendah dan tinggi.

Kesemua komponen dimasukkan ke dalam tubuh yang kalis percikan air sehingga IP54. Ini membolehkan ia digunakan ketika bersenam kerana kalis peluh.

Ciri paling menarik pada peranti ini ialah sistem audionya dilengkapi diafragma sebesar 12.4mm yang disadur Titanium Ultra-Tegar bagi meningkatkan ketahanannya. Ciri itu juga menghasilkan keluasan gegaran 89 peratus lebih luas berbanding diafragma jenis tipikal sebesar 9mm.

Hasilnya, bunyi bass daripada fon telinga itu lebih mendalam sekali gus memberikan kepuasan mendengar muzik kegemaran anda.

Mudah Digunakan

Sudah semestinya fungsi peranti ini dicadangkan penggunaannya dengan telefon pintar terbaharu Siri Reno8 5G. Apabila pod ini dibuka, skrin akan memaparkan tahap bateri fon telinga ini dan tiada aplikasi tambahan perlu dimuat turun.

Sambungan kepada fon telinga ini mudah disambungkan dan lebih pantas manakala pelbagai ciri kawalan disokong pada bahagian tangkai dengan hanya melakukan dwi-tap, tri-tap, menekan lama atau menatal tangkai.

Dari kesemua gestur ini, tatalan tangkai mungkin ciri yang paling disukai kerana ia memudahkan proses mengubah kelantangan audio. Ia turut boleh digunakan untuk melangkau muzik yang sedang didengari.

Muzik juga akan terhenti serta merta dan bersambung semula selepas sesaat dimasukkan dalam telinga. Dengan adanya tangkai pada putik audio, proses menanggalkan peranti ini adalah amat mudah.

Bateri

Fon telinga ini hanya memerlukan masa hanya 10 minit untuk pengecasan pantas yang mampu memainkan muzik selama dua jam dengan ketahanan bateri selama 28 jam.

Peranti seberat 3.5 gram setiap satu ini menggunakan pod pengecasan yang disambungkan dengan wayar jenis USB-C.

Kesimpulan

Tidak kira anda sedang berpeluh ketika melakukan senaman, fon telinga ini selesa dipakai dan mudah dikendalikan sama ada mengawal dari telefon pintar atau terus dari peranti ini.

Dari segi kemampuan audio dan ANC, Enco Air2 Pro menawarkan pengalaman terbaik untuk dinikmati dari pengeluar peranti Android sesuai dan menawarkan prestasi audio tahap premium dan dipadankan pula dengan sistem tatalan dan gestur yang amat responsif.

Hayat baterinya juga adalah memuaskan dan fon telinga ini juga dilengkapi teknologi bunyi Dolby Atmos yang menjadikan bunyi cukup jelas dan seimbang.

Bagaimanapun, bagi anda yang menggunakan peranti iOS, anda perlu memuat turun aplikasi Hey Melody untuk disambungkan dengan mudah.

Fon telinga ini ditawarkan pada harga mampu milik namun dilengkapi dengan pelbagai ciri premium khususnya prestasi audio yang tidak mengecewakan setiap kali peranti ini disumbatkan ke dalam telinga.

Oppo Enco Air2 Pro dijual pada harga RM349.