Untuk enam bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 127,343 kenderaan dengan lonjakan 30% daripada 97,290 unit yang dijual dari Januari hingga Jun 2021 berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.

Walaupun begitu, Perodua Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua
menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan
kenderaan telah diambil,” katanya.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri
automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.”

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tarikh akhir
penghantaran kepada 31 Mac 2022 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk
memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” katanya.

Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022,
faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran
kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua
dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009
unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit. Pada perbandingan bulan
ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7% daripada 18,901 unit yang
didaftarkan pada Mei 2022.

Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan
bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.

Walaubagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa isu-isu seperti tenaga kerja
mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan
dapat memahami keadaan ini.

“Kami ingin memohon maaf kerana para pelanggan kami terpaksa menunggu lama
untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk
meningkatkan lagi pengeluaran kami,” katanya.

Zainal berkata langkah ini termasuk bekerjasama dengan para pembekal kami,
dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk
bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.

“Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana
impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.

Mengenai kekurangan alat ganti, komunikasi dengan para pembekal dan rakan
kongsinya masih lagi berterusan untuk mencari komponen alternatif, katanya.

Beliau berkata, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan
keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit.