Perkhidmatan penghantaran airasia xpress oleh airasia Super App telah meluaskan perkhidmatannya dan kini merangkumi perkhidmatan penghantaran antara negeri yang terus ke pintu rumah di antara Lembah Klang dengan bandar-bandar utama di Ipoh, Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, dan Kota Kinabalu.

Dikuasakan oleh Teleport, cabang perkhidmatan logistik oleh Capital A, pengguna airasia Super App kini boleh membuat penghantaran bungkusan mereka ke seluruh Semenanjung Malaysia (dari Lembah Klang ke Ipoh, Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang, dan sebaliknya) dalam masa 1-3 hari, manakala penghantaran bungkusan di antara Lembah Klang dengan bandar-bandar di Malaysia Timur seperti Kuching dan Kota Kinabalu akan dipenuhi dalam tempoh 5-9 hari dengan kadar paling berpatutan berbanding pemain industri yang lain.

Bersempena dengan pelancaran perkhidmatan itu, para pengguna airasia Super App boleh menikmati DISKAUN 20% untuk penghantaran antara negeri dengan menggunakan kod promosi DOMESTIC semasa membuat pembayaran mulai sekarang sehingga 17 Julai 2022. Pengguna boleh menekan pada ikon ‘Xpress’ pada aplikasi airasia Super App untuk menghantar bungkusan anda sekarang.

Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran airasia Super App, berkata, ”Kami berbesar hati untuk melancarkan ciri perkhidmatan penghantaran domestik terbaharu airasia xpress yang memberikan para pelanggan kami alternatif yang lebih berpatutan, cepat dan mudah untuk penghantaran antara negeri.

Sebagai satu-satunya perkhidmatan penghantaran bungkusan yang merupakan sebahagian daripada syarikat penerbangan, kami berusaha untuk menggunakan kelebihan unik kami dalam ketersambungan domestik dan serantau yang paling kukuh untuk terus menyokong PKS dan perniagaan kecil di rantau ini dengan menyediakan alternatif yang lebih murah kepada pemilik perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka, kerana perkhidmatan penghantaran di airasia xpress adalah 47% lebih berpatutan berbanding kebanyakan penyedia perkhidmatan dalam pasaran untuk penghantaran di antara Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur.

airasia xpress juga komited untuk menjaga semua bungkusan yang diamanahkan kepada kami dengan lebih baik untuk memastikan ketenangan fikiran kepada pelanggan kami sambil menikmati perkhidmatan airasia yang cekap dan bernilai tinggi.”