Platform kesihatan digital Malaysia, Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) untuk memudahkan dan meningkatkan proses vaksinasi kesihatan dalam kalangan jemaah Malaysia yang merancang untuk menunaikan ibadat haji atau umrah di  Arab Saudi.

Platform itu akan disediakan kepada jemaah yang membuat rancangan melakukan ibadat haji atau umrah dengan mana-mana agensi pelancongan di bawah BUMITRA yang mengambil bahagian.

Fasa percubaan vaksinasi akan bermula bulan ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum permulaan fasa kedua pada akhir Julai yang akan meliputi seluruh negara.

Sebagai penyedia platform yang mudah, responsif, telus dan boleh dipercayai melalui penawaran pelbagai produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatannya, platform DoctorOnCall akan digunakan sebagai pangkalan data dalam talian bagi penyedia penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan vaksinasi di seluruh negara.

Penggunaan pangkalan data itu akan membantu jemaah haji mencari dan mengenal pasti klinik yang sesuai, bereputasi dan disahkan untuk melakukan vaksinasi.

Vaksinasi yang ditawarkan melalui DoctorOnCall meliputi vaksin untuk meningokokus, influenza dan Covid-19.

Bagaimanapun, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa jemaah haji Malaysia untuk memasukkan vaksin pneumokokal sebagai sebahagian daripada inokulasi mereka untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan pneumokokal yang serius dan berpotensi membawa maut(¹), DoctorOnCall akan memberi penekanan yang lebih besar kepada penyedia vaksin pneumokokal supaya memastikan lebih ramai jemaah akan mendapat akses kepada vaksin tersebut.

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata: “Dengan kebangkitan semula pelancongan berkaitan keagamaan ketika negara memasuki dunia pasca-pandemik, keadaan kesesakan di tempat ibadat tidak dapat dielakkan.

“Ini menjadikan jemaah haji lebih mudah dijangkiti penyakit berjangkit. Pemberian vaksinasi dengan vaksin yang diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi akan memberi keyakinan dan ketenangan fikiran bagi jemaah dalam melakukan ibadat mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai komorbiditi perubatan berisiko tinggi ketika terdedah kepada orang ramai.

“Platform DoctorOnCall akan menggalakkan pengambilan vaksin untuk jemaah haji yang lebih selamat dengan memudahkan proses vaksinasi. Menggunakan platform ini, proses membuat temu janji untuk melakukan vaksinasi dipermudahkan kerana jemaah haji tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan menunggu berjam-jam dalam barisan di kemudahan perubatan.

“Sebaliknya, mereka boleh menempah temu janji fizikal, mematuhi garis panduan vaksinasi dengan lebih baik untuk mengelakkan kesan sampingan berganda dan membantu mereka merancang melakukan vaksinasi semasa perjalanan haji mereka,” katanya.