Bukan satu jenama yang boleh dipandang ringan setiap kali ia muncul di pasaran kerana evolusi teknologi pembuatan telefon pintar kini semakin pantas berkembang.

Maka tidak hairanlah, jenama Oppo terus aktif mengekori pasaran peranti mudah alih di negara ini dengan berada pada kedudukan baik menerusi penawaran produk berkualiti tinggi termasuk pengenalan produk dalam segmen mercu.

Prebiu.com yang diberi peluang oleh Oppo Malaysia untuk menguji peranti model terbaharu Oppo Find X5 Pro ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum, cukup bertuah dapat merasai sendiri pengalaman memegang peranti pintar yang dipasarkan pada harga yang premium.

Tunggu apa lagi, mari kita terokai apa yang menarik pada telefon pintar ini? Dalam reviu kali ini, pujian harus diberikan pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi yang dinaiktaraf berbanding peranti siri terdahulu yang dilancarkan sebelum ini.

Rekaan Luaran

Peranti ini dilengkapi skrin sebesar 6.7-inci LTPO AMOLED WQHD+(3216 × 1440 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz secara dinamik.

Paparannya turut dilapisi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus sebagai pelindungan utama manakala rekaan badannya dibina dengan bahan seramik paling utuh dan lasak sekaligus anda tidak perlu bimbang jika peranti ini jatuh.

Apa yang menarik ialah rekaan badannya juga melalui proses lebih 2,000 kawalan mata untuk mencipta lekuk organik yang diinspirasikan era angkasa lepas khususnya rekaan belakang seakan kawasan pendaratan di bulan.

Selain itu bahan seramik yang menyelaputi peranti ini mengambil masa sehingga 168 jam untuk dibina menggunakan mikro nanometer seramik yang mencipta permukaan yang kukuh dua kali ganda daripada kaca sekali gus menjadikannya kalis calar.

Secara keseluruhannya, sebanyak 45 proses diperlukan untuk mereka bentuk bahagian lekuk belakang peranti ini termasuk menjalani proses suhu setinggi 1,000 darjah celcius dan proses pengilapan berulang kali menjadikannya licin.

Paparan skrin

Bagi mencipta kelainan dalam paparan skrin peranti ini dilengkapi 10-bit paparan skrin dengan lebih 1 bilion warna yang mengenalpasti warna secara automatik bagi menghasilkan paparan warna yang tepat dan jelas.

Peranti seberat 218 gram ini juga menjalankan sistem operasi ColorOS 12.1 berasaskan Android 12, menyokong banyak tema Omoji, memfokuskan privasi dan sekuriti serta turut menyokong Multi-Screen Connect seakan Samsung.

Seterusnya, cip Snapdragon 8 Gen1 digunakan turut dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Bateri pula sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan 80W SUPERVOOC dan ini adalah telefon paling premium Oppo setakat ini.

Ia turut menyokong pengecasan pantas 80W SuperVOOC dan AirVOOC 50W yang boleh mengecas peranti sehingga 50% dalam masa 12 minit dan 50W AirVOOC untuk pengecasan nirwayar pantas yang boleh mengecas peranti 100% dalam masa 47 minit. Untuk sekuriti, Oppo menggunakan sensor pengimbas cap jari di bawah skrin.

Kamera hebat

Rekaan perumah kamera pada peranti ini juga tidak terlalu menonjol dan kelihatan cantik serta kemas. Sistem tri kamera belakang Find X5 Pro berada disebalik perumah yang cantik rekaannya.

Pengenalan peranti ini yang turut memberi fokus kepada fotografi, menjadikan peranti ini dilengkapi kamera utama 50 Megapiksel (MP) Ultra lebar (f/2.2) + kamera lebar 50MP (f/1.7) dan 13MP telefoto (f/2.3) daripada sensor Sony IMX766 untuk sudut ultra lebar, IMX766 untuk sensor utama dengan kaca Ultra-Transparent dan juga sensor telefoto 5x zum hibrid dan 20x zum digital.

Oppo kali ini turut memperkenalkan cip MariSilicon X, cip pemproses neural hasilan mereka sendiri yang memiliki ciri pemprosesan kecerdasan buatan (AI) lebih baik pada isyarat imej yang diterima sensor.

Cip ini turut membantu rakaman video 4K dalam mod malam pada kualiti lebih baik dan ia juga tidak akan dapat dicapai tanpa sistem OIS lima paksi yang turut disertakan.

Untuk kamera swafoto, Oppo menggunakan sensor 32MP yang dibina bersama Sony iaitu IMX709 dan turut akan memanfaatkan cip Marisilicon X.

Apa yang paling terkini ialah sistem kamera Oppo Find X5 Pro turut ditala oleh Hasselblad dan untuk menggunakan sains warna, Hasselblad Natural Colour Calibration serta penuras Master.

Penggunaan zum digital 20 kali juga tidak mengecewakan dan lihat sahaja hasil rakaman gambar tulisan diatas bangunan yang dirakam menggunakan peranti hebat ini.

Yang pastinya peranti ini amat dinanti-nantikan kerana Oppo mensasarkan peranti ini khususnya untuk peminat fotografi.

Justeru, gambar yang dihasilkan lebih jelas, cantik dan kelihatan hidup. Tahap cahaya sebanyak 60 peratus ditingkatkan setiap kali penggunanya mahu merakam gambar swafoto.

Perisian

Untuk cip pemprosesan, Oppo Find X5 Pro dijana dengan cip generasi terkini Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1 yang turut menyokong memori maya.

Berasaskan kepada proses pembuatan kompak sehingga 4 nanometer (nm), Qualcomm 2022 Flagship GPU menawarkan 30 peratus prestasi dan 25 peratus lebih kuasa berbanding generasi terdahulu serta disokong oleh keupayaan AI.

Selain itu, peranti ini turut dilengkapi sistem antena pintar Oppo 360 darjah iaitu salah satu yang terbaik di dunia yang memberikan capaian signal lebih baik dan membolehkan frekuensi 5G digunakan.

Bagi mengatasi isu kepanasan pada peranti, Oppo Find X5 ini dipadankan dengan sistem penyejukan yang lebih besar iaitu hampir 75 peratus daripada generasi terdahulu. Kelebihan kepada ciri ini memberikan ketenangan kepada pemain ‘game’ yang menggunakan peranti ini bagi tempoh yang lama.

Meskipun peranti ini digunakan untuk bermain ‘game’ ketika dicas, ia secara automatik mengurangkan tahap haba sehingga 3 darjah celcius yang dihasilkan apabila menggunakan pengecas nirwayar 50W berbanding pesaingnya.

Mengenai baterinya, peranti ini dilengkapi kuasa 5000mAh dengan dua sel bateri dan teknologi pengecasan pintar terkini yang memberikan daya ketahanan kepada bateri ini sehingga dua kali sekali gus membolehkan penggunaan peranti ini lebih lama.

Kesimpulan

Kesempatan menguji peranti ini beberapa hari mendapati, ia bukan sahaja mudah di genggam dan dikendalikan, ia dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB dengan bateri sebesar 5000mAh yang sudah cukup memadai.

Sempena pelancarannya, peranti ini ditawarkan di Malaysia pada harga RM4,999. Sesi pra tempah dibuka bermula sekarang hingga 27 Mei 2022 dengan hadiah menarik bernilai RM1,397 sehingga RM1,726.

Pakej ini terdiri dengan Oppo Enco X2 (RM799), jaminan lanjutan peranti selama 1 tahun (RM399), pelindungan skrin selama 1 tahun (RM199) dan ganjaran menarik lain menerusi aplikasi MY OPPO App.

Buat pertama kali juga, Oppo menyertakan sokongan IP68 sekali gus menjadikan peranti ini setanding dengan peranti keluaran atau jenama dari Amerika Syarikat ataupun Korea Selatan.

Justeru, bagi anda yang sememangnya peminat fotografi dan mahu berkongsi hasil gambar yang dirakam dengan pantas di media sosial, peranti ini adalah antara pilihan terbaik yang boleh dimasukkan dalam senarai telefon pintar idaman pada tahun ini.

Lihat sahaja hasil gambar yang dirakam pada waktu siang dan malam yang jelas memperlihatkan hasil cukup memuaskan apatah lagi peranti ini ditala oleh Hasselblad, ternyata memberikan kepuasan kepada penggunaannya.