Continental Tyre Malaysia dan Castrol Malaysia telah menandatangani satu memorandum persefahaman bagi menerokai inisiatif bersama di seluruh negara.

Kedua-dua syarikat itu menyasar untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di negara ini dengan memanfaatkan rangkaian pengedar, penawaran, dan kepakaran luas masing-masing bagi menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, memberikan kemudahan dan pengalaman yang serba lengkap demi ketenangan minda para pengguna.

Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova berkata, “Terdapat permintaan kukuh bagi kedua-dua jenama dan produk kami di dalam pasaran di
kalangan pemilik kenderaan premium, dan peluang besar untuk kami bekerjasama
dengan menggabungkan penawaran kami bagi memberikan perkhidmatan yang
lebih baik kepada pelanggan kami.

“Kami yakin bahawa dengan perkhidmatan dan kecemerlangan kedua-dua jenama ini sejak sekian lama di dalam pasaran, kami akan terus menjadi jenama pilihan dalam penyelenggaraan automotif,” katanya.

Pengarah Jualan Pasaran Castrol Malaysia & Singapura, Gan Wee Kiong
menambah, “Kerjasama ini adalah bukti komitmen kedua-dua jenama ke arah
keselamatan dan kepuasan hati pelanggan sambil kami bergabung tenaga ke arah
mengukuhkan lagi kedudukan jenama kami di Malaysia.

Menerusi gabungan kepakaran kami yang menyokong peluang baru, kami akan terus memimpin dan berinovasi bagi memastikan kami sentiasa menjadi peneraju pasaran global dalam hal perkhidmatan dan penyelenggaraan.”

Di bawah kerjasama yang dicadangkan itu, kedua-dua pihak akan menawarkan gabungan program kesetiaan pelanggan kepada para pemilik kenderaan di Malaysia
di mana mereka boleh menikmati pelbagai tawaran, insentif, penebusan dan ganjaran.

Kedua-dua jenama turut berusaha ke arah mewujudkan kerjasama yang bakal menyaksikan penubuhan kedai jenama bersama di seluruh negara dengan rancangan untuk pengembangan dan pertumbuhan.