Pada 10 Februari lalu, Samsung melancarkan peranti kelas mercu paling dinantikan iaitu Siri Galaxy S22 yang dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1.

Untuk Samsung Galaxy S22 berkenaan ia didatangkan dengan tiga variasi berbeza iaitu Galaxy S22, S22+ dan S22 Ultra.

Prebiu.com yang diberikan kesempatan menguji Samsung Galaxy S22+ mendapati, peranti terbaharu ini memiliki kelebihan tersendiri khususnya skrin yang lebih besar dan ciri kamera yang hebat khususnya ciri mod malam-Nightography.

Kamera

Sistem tri kamera menggunakan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 10MP yang menyokong zum optikal sehingga 3X sahaja.

Tiada sistem zum periskop dan had zum digital adalah sehingga 30X. Kamera mudah digunakan kerana sistem kecerdasan Samsung memilih tetapan yang paling sesuai mengikut situasi.

Bagi yang memerlukan aplikasi kamera yang lebih profesional, Expert RAW boleh digunakan kerana ia hadir dengan kawalan kamera yang lebih terperinci.

Seperti kesemua aplikasi kamera pada peranti mercu Samsung terdahulu, terdapat ciri tambahan Single Take, mod malam, potret, panorama dan video dalam mod potret.

Kesan bokeh juga adalah baik sama ada untuk merakam gambar mahupun rakaman video malah hasil gambar dihasilkan cukup hebat dan tidak boleh diragui kerana S22+ adalah peranti kelas premium.

Gambar yang diambil menggunakan kamera S22+ adalah memuaskan untuk sebuah peranti mercu. Ianya terang, tajam dan tidak mempunyai masalah hingar yang ketara.

Dalam situasi pencahayaan yang baik penghasilan semua warna adalah amat baik. Warna kelihatan hidup dan menyamai situasi sebenar.

Jom saksikan antara hasil gambar yang diambil menggunakan peranti Galaxy S22+.