Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) telah menganjurkan majlis penyampaian cenderahati dan sumbangan duit raya kepada 52 orang penerima faedah Peneraju Tunas Azam ASDAF sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis yang diadakan di Asrama Darul Falah (ASDAF), Kuala Lumpur ini bertujuan untuk berkongsi kegembiraan dan meraikan anak-anak tajaan Yayasan Peneraju yang berada di ASDAF.

Penerima faedah yang menetap di ASDAF adalah terdiri daripada anak-anak orang asli, fakir miskin, saudara baru (muallaf) dan anak-anak yatim.

Mereka berasal dari kampung-kampung di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia dan dipilih untuk mengikuti program Peneraju Tunas Azam ASDAF yang memberi tumpuan kepada pendidikan akademik dan agama.

Delegasi Yayasan Peneraju diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju, Kol. Bersekutu (PA) Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail telah menyampaikan cenderahati hari raya berupa kuih-muih dan duit raya kepada setiap penerima faedah.

Yayasan Peneraju merupakan satu inisiatif kerajaan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan.

Antara mandat Yayasan Peneraju adalah meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha menaik taraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, pensijilan vokasional, profesional, teknologi dan spesialis.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, Yayasan Peneraju telah melahirkan lebih 46,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui lebih 370 program pembiayaannya.

Jumlah penerima faedah ini dijangka akan terus bertambah selaras aspirasi Yayasan Peneraju untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan Malaysia diperkayakan dengan modal insan yang akan terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.