Bagaikan sudah menjadi satu trend kebelakangan ini apabila Samsung melakukan inovasi dalam pengenalan telefon pintar siri generasi Galaxy S21 yang diperkenalkan awal tahun lalu dan kemudiannya disusuli dengan model FE (Fan Edition) pada awal tahun ini.

Ini menjadi satu gimik pemasaran yang dilakukan oleh Samsung dalam memastikan generasi Galaxy S21 kekal relevan di pasaran setiap kali sesuatu siri peranti itu diperkenalkan.

Apa yang membezakan Galaxy S21 FE 5G dengan tiga peranti siri S21 yang dilancarkan tahun lalu? Tiada banyak perbezaaan tetapi paling ketara ialah harganya lebih mampu milik berbanding model utama dan menggunakan cip Exynos dan bukan Snapdragon.

Prebiu.com yang diberi peluang menguji peranti ini mendapati, ciri premium pada S21 FE dianggap sebaris dengan model utama khususnya saiz dan kekemasan yang hampir tiada beza dengan model sebaris S21 lain.

Ciri Rekabentuk

Samsung Galaxy S21 FE kekal menggunakan rekaan yang hampir sama dengan Galaxy S21. Panel belakang masih lagi polikarbonat dengan kemasan kusam yang memberi cengkaman yang baik dan selesa apabila dipegang.

Rekaan kamera dengan Contour Cut Design yang ikonik dikekalkan dan rekaan itu seakan menjadi legasi untuk yang diteruskan juga pada siri S22.

Secara personal, saya lebih menggemari rekaan kamera pada model siri Galaxy S20 yang lebih nipis, kemas dan tidak terlalu menonjol berbanding siri model S21 dengan memiliki bingkai yang tebal. Bagaimanapun, terpulang kepada citarasa masing-masing.

Peranti S21 FE dilengkapi skrin hadapan bersaiz 6.4-inci Dynamic AMOLED 2X, dengan kadar segar semula 120Hz yang beresolusi 1080 x 2400 serta mempunyai perlindungan Gorrila Glass Victus.

Tiada sebarang butang laras pada sebelah kiri tetapi di kanan semua butang laras suara dan kuasa dibekalkan manakala di bawah pula terdapat slot kad SIM, port USB-C, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara.

Peranti berwarna Graphite ini amat selesa di tangan dan mudah untuk dikendalikan kerana saiznya yang kompak. Pengalaman menggunakan peranti S20 yang nipis tidak membebankan kocek seluar dan begitu juga peranti ini yang hanya seberat 177gram manakala tebalnya 7.9mm.

Hanya empat pilihan warna ditawarkan bagi siri Galaxy S21 FE tahun ini iaitu Graphite, Olive, Lavender dan White berbanding enam pilihan warna pada tahun lalu.

Ciri Kamera

Sebagaimana ciri kamera yang ada pada Samsung Galaxy S21, peranti ini juga mempunyai konfigurasi tri-kamera dengan 12MP f/1.8 utama, 8MP f/2.4 telefoto yang menyokong tiga kali zum optikal serta 12MP f/2.2 sudut ultra-lebar yang mempunyai sudut pandangan sehingga 123 darjah.

Kedua-dua sensor utama dan telefoto mempunyai sokongan OIS. Untuk kamera swafoto pula, S21 FE menggunakan sensor 32MP f/2.2 lebih baik berbanding S21 5G yang hanya dibekalkan dengan sensor 10MP.

Dengan mengekalkan ciri OIS, ia memberi kelebihan kepada peranti ini kerana tanpa OIS gambar mod malam yang tajam dan gambar telefoto yang tidak kabur mustahil dapat diambil tanpa tripod.

Kelebihan lain ialah OIS turut membantu rakaman video yang lebih stabil dengan ciri Super Steady malah hasilnya lebih baik apabila HDR diaktifkan.

Apa yang penting ialah hasil rakaman video dan gambar adalah cantik serta memuaskan dengan butiran gambar cukup menarik apabila dimuat naik atau dikongsi bersama rakan di platform media sosial.

Kemampuan sudut ultra lebar juga cukup baik malah peranti ini turut menyokong zum optikal sehingga tiga kali dan gambar yang terhasil juga tidak menghampakan.

Paling menarik untuk ciri swafoto dengan sensor 32 megapiksel ialah S21 FE ini, mempunyai ciri untuk swafoto beramai-ramai agar semua orang boleh masuk dalam bingkai.

Sistem Operasi

Peranti ini hadir dengan One UI 4.0 yang menjadikannya peranti pertama Samsung ditawarkan dengan sistem operasi Android 12 yang memberikan pengalaman daripada segi penggunaan yang lancar dan pantas.

Aplikasi daripada Google yang sedia menyokong ciri Android 12 mudah digunakan dan dengan ciri One UI 4.0 yang digunakan pada peranti seperti S21 Ultra, peranti ini boleh dianggap berbaloi untuk dimiiliki.

Untuk cip pemprosesan, peranti dijana dengan cip Exynos 2100 binaan 5nm dan menggunakan memori 8GB RAM dan RAM Plus 4GB menjadikan RAM peranti adalah 12GB. Storan dalaman pula terdapat dua pilihan sama ada 128GB atau 256GB jenis UFS 3.1.

Selain itu, ciri Device Care juga menjadi lebih menarik dengan rekaan yang mesra pengguna apabila Samsung menyertakan sokongan tambahan memori secara maya melalui ciri RAM Plus yang mengambil 4GB daripada storan dalaman sekali gus membolehkan peranti ini mempunyai sehingga 12GB RAM secara keseluruhan.

Oleh kerana S21 FE tergolong dalam kategori peranti mercu, ia turut mendapat tiga kemas kini versi Android dan kemas kini sekuriti selama empat tahun.

Ciri Bateri

Sama seperti S20 FE sebelum ini, S21 FE juga menggunakan bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 25W. Dengan caj pantas, anda boleh memperoleh lebih 50 peratus kuasa bateri hanya dalam tempoh 30 minit pengecasan.

Jika rakan anda menggunakan peranti yang sama, anda boleh berkongsi pengecasan secara nirwayar dengan peranti rakan anda. Selain mampu mengecas telefon pintar, peranti ini juga boleh mengecas peranti Samsung lain seperti jam pintar atau Galaxy Buds.

Bagaimanapun, jika bateri peranti ini sudah berada pada tahap kurang 30 peratus, fungsi untuk berkongsi pengecasan tidak boleh dilakukan.

Dalam penggunaan harian dengan menggunakan kamera, aktif di media sosial dan bermain game, peranti seberat 177 gram ini boleh bertahan lebih 15 jam bergantung kepada tahap penggunaan.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S21 FE adalah satu peranti mercu Samsung yang menawarkan ciri yang hampir sama dengan peranti dalam siri S21 lain cumanya kamera telephoto hanya 8MP berbanding S21 5G yang dipadankan dengan sensor 64MP.

Bagaimanapun, ia memiliki kelebihan daripada segi kapasiti bateri iaitu 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W dan perlindungan daripada air IP68.

Samsung Galaxy S21 FE turut masih mempunyai pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos yang mana bunyi audionya sedap didengar dan memberikan pengalaman yang memuaskan apabila memainkan lagu kegemaran anda.

Penggunaan peranti ini cukup selesa kerana saiznya mudah digengam dan ringan dibawa ke mana sahaja apatah lagi disimpan dalam kocek seluar. Sistem pemprosesan juga pantas dan mesra pengguna apabila mahu menatal di atas skrin.

Spesifikasi Samsung Galaxy S21 FE 5G:

  • Skrin – 6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+ 1080 x 2400, Victus
  • Pemproses – Samsung Exynos 2100 5nm
  • Samsung One UI 3.1 + Android 11
  • RAM – 8GB + RAM Plus 4GB
  • Bateri – 4500mAh Fast Charging 25W
  • Storan Dalaman – 128/256 GB UFS 3.1
  • Kamera belakang: 12MP f/1.8 utama + 12MP f/2.2 ultra lebar + 8MP f/2.4 telefoto, 3x Optikal, OIS
  • Kamera depan: 32MP Dual Pixel AF f/2.2
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax, Bluetooth 5.1, USB-C
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos, IP68
  • Warna: Graphite, Olive, Lavender dan White
  • Harga:  RM2899 8/128GB