Kebiasaannya, enjin yang digunakan kebanyakan trak pikap di negara ini adalah sekitar 2.5 liter disebabkan beberapa faktor seperti cukai jalan yang mungkin akan mempengaruhi permintaan di pasaran.
Berbeza dengan Isuzu Malaysia Sdn Bhd, yang tampil berani apabila mempertaruhkan sebuah trak pikap berkuasa 3.0 liter dikenali sebagai Isuzu X-Terrain 3.0 liter yang bukan sahaja kelihatan mewah daripada segi kekemasan dalaman malah sentuhan luar.
Sebelum ini, Isuzu pernah mencatatkan kelainan apabila memperkenalkan trak pihak berkuasa 1.9 liter pada dua tahun lalu yang bukan sahaja menjimatkan ‘poket’ anda malah cukai jalan tahunan yang lebih murah.
Sebenarnya, kehadiran trak pikap semakin mendapat permintaan pengguna masa kini dan ini jelas dapat dilihat semakin banyak di jalan raya disebabkan reka bentuknya yang maskulin, praktikal dan mudah dikendalikan.

Ciri-ciri praktikalnya menjadi pilihan kepada pengguna yang gemar mencari kelainan untuk disesuaikan dengan gaya hidup masa kini, apatah lagi lambakan kedai aksesori kenderaan yang menawarkan pelbagai modifikasi kepada kenderaan pikap ketika ini.
Tidak ketinggalan ada yang menjadikan trak pikap ini sebagai sumber pendapatan membawa pelbagai barangan seperti perabot hingga kepada motosikal. Pernah sekali melihat sebuah pikap yang boleh membawa sehingga tiga buah motosikal sekali gus.
Justeru, kehadiran model Isuzu D-Max X-Terrain berkuasa 3.0 liter ini memberikan kelebihan daripada segi kuasa enjin dan penjimatan penggunaan bahan api.
Ketika diperkenalkan pada April tahun lalu, Isuzu menawarkan tujuh varian, dengan harga bermula dari RM89,000 hingga kepada varian X-Terrain yang merupakan varian tertinggi didatangi dengan tanda harga lebih RM140,000.
Dalam tempoh singkat sejak pelancarannya, Isuzu D-Max X-Terrain telah meraih tidak kurang daripada lima anugerah Trak Pikap Terbaik Tahunan.
Agaknya disebabkan ketika ini ramai pembeli trak pikap yang memandu kenderaan ini sebagai kereta harian ke tempat kerja dan beriadah bersama keluarga di hujung minggu, menyebabkan kebanyakan pengeluar trak pikap menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna.
Rekabentuk luaran
Rekabentuk Isuzu D-Max X-Terrain serba baharu kali ini benar-benar berbeza berbanding model terdahulu daripada pandangan hadapan hingga kepada belakang.

Jika dilihat pada bahagian depan misalnya, gril baharunya tampil lebih maskulin dengan tahap ketinggian bonet dinaikkan 15 mm manakala garis bumbung pula direndahkan 15 mm untuk memberikannya profil yang lebih sporty.
Varian 3.0 liter ini turut menggunakan platform baru dikenali sebagai Dynamic Drive Platform (masih binaan body-on-frame), memberikan ketahanan struktur yang lebih teguh, perlindungan ketika perlanggaran, kestabilan pemanduan dan pengurangan tahap bising NVH.
Ciri berbeza dengan model terdahulu ialah ketinggian meredah banjir juga kini 800 mm berbanding 600 mm sebelum ini sekali gus memberikan kelebihan kepada kenderaan ini meredah banjir yang sering melanda negara sejak kebelakangan ini.
Apa yang menarik ialah jarak antara rodanya ditambah 30 mm sekali gus menjadikan kabin lebih luas dengan kedudukan tempat duduk belakang misalnya tidak terlalu menegak, cukup selesa untuk perjalanan jauh.

Enjin
Ada dua kapasiti enjin yang ditawarkan, dengan yang pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter common-rail empat-silinder diesel yang sudahpun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm tork. Output masih sama, tetapi menurut Isuzu enjin ini kini lebih lancar dan senyap.
Bagi unit 4JJ3 3.0 liter, ia diberikan penambah baikan dan peningkatan baru. Ia kini menghasilkan 190 PS dan 450 Nm tork, menampilkan peningkatan sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit enjin 4JJ1 3.0L yang digunakan sebelum ini — memanfaatkan engin head dan pengecas turbo baru.
Angka ini mungkin tidak terlalu jauh daripada pesaingnya, tetapi Isuzu sejak dulu selalu merendahkan output dari kapasiti sebenar bagi memberi kelebihan kepada ketahanan dan jangka hayat enjin yang lebih lama.

Lebih menarik, kedua-dua enjin yang ditawarkan oleh Isuzu ini boleh menggunakan biodiesel B20 tanpa masalah. Transmisi manual dan automatik enam-kelajuannya juga diberi kemaskini agar lebih lancar, begitu juga dengan pemilih sistem pacuan 4×4.
Pengalaman luas Isuzu yang sudah membina lebih 26 juta enjin di peringkat antarabangsa membabitkan pelbagai jenis kenderaan daripada trak pikap hingga kepada lori sudah terbukti mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Ruang Dalaman
Terdapat dua varian bagi enjin berkapasiti 3.0 liter iaitu 3.0L AT Premium dan 3.0L 4×4 AT X-Terrain, dengan beza harga kira-kira RM14,000. Apa yang membezakannya ialah padanan cermin depan khas yang mengurangkan penembusan cahaya infra-merah, bilah pengilap aerofoil premium dengan pencuci bersepadu, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain serta penghidup enjin jarak jauh.
Varian ini juga dilengkapi kemasan kulit coklat, kerusi pemandu dengan larasan elektrik lapan-hala dengan sokongan lumbar, larasan stereng teleskopik dan paparan skrin sentuh sembilan-inci.

Keselesaan penumpang belakang juga tidak dilupakan kerana dilengkapi corong pendingin hawa belakang dan sambungan USB untuk pengecasan telefon bimbit.
Padanan fabrik hitam dibahagian bumbung dalam digabungkan dengan kerusi kemasan coklat menyerlahkan lagi ciri sporty kenderaan pikap ini dijalan raya.
Punat kawalan bersepadu pada stereng meliputi kawalan audio, auto cruise dan tetapan lain membolehkan pemandu memberi fokus kepada pemanduan. Sistem kawalan pendingin hawa yang diperbaharui pula kelihatan lebih mewah dan eksklusif seakan rekaan kenderaan buatan Eropah.

Paparan skrin sentuh sembilan inci pula yang turut berfungsi sebagai kamera undur memberikan visual lebih jelas selain boleh dihubungkan dengan sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan fungsi WiFi.
Ciri Keselamatan
Varian tertinggi ini hadir dengan pakej sistem bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) lengkap; tujuh beg udara, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan fungsi henti/gerak, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh ditawarkan sebagai standard selain sensor parkir sahaja.
Apa yang boleh dipuji di sini ialah sistem brek kecemasannya berfungsi dengan cekap apabila melakukan brek secara automatik sekiranya kenderaan ini mengesan kedudukannya terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan.

Penggunaan fungsi brek secara automatik ini amat sesuai ketika memandu di kawasan taman atau pemanduan dalam bandar yang mana kadang kala kita lalai atau cuai melihat objek dihadapan.
Kesimpulan
Kesempatan menguji model berwarna Sapphire Blue ini di jalan raya biasa, lebuh raya dan laluan lasak cukup menyeronokkan. Tahap keselesaan dapat dirasakan apabila menempuh laluan yang tidak rata manakala kawalan stereng bertindak balas dengan aktif.
Untuk menukar ciri kenderaan ini daripada pacuan dua roda kepada empat roda juga mudah kerana tombol penukaran hanya terletak dibahagian panel bawah papan pemuka manakala kawalan gear manual enam kelajuan cukup responsif apabila digunakan untuk memotong kenderaan sekiranya mahu beralih daripada penggunaan transmisi gear automatik.
Jaminan bagi varian X-Terrain diberikan selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan, sementara varian lain kekal jaminan lima-tahun.

Sistem titik buta pada cermin sisi yang memberi amaran kenderaan di sisi, dan amaran lintasan trafik belakang membantu pemandu mengawal kenderaan dengan lebih cekap di jalan raya.
Varian X-Terrain 3.0 liter 4×4 ditawarkan pada harga di atas jalan raya tanpa insurans ialah RM142,438.40* (persendirian).






































































