Kementerian Kerja Raya sentiasa peka terhadap permasalahan yang melibatkan masyarakat khususnya golongan yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak kementerian ketika ini giat menjalankan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak seperti jambatan, jalan raya Persekutuan, negeri serta membaiki cerun-cerun yang mengalami kerosakan.
“Tugas tugas ini akan bertambah sekiranya ada bencana seperti banjir yang berlaku di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.
“Justeru, kementerian telah mengaktifkan bilik Gerakan Bencana yang beroperasi 24 jam bagi memantau situasi banjir di seluruh Negara menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi memudahkan kerja bantuan seperti perpindahan, penghantaran bantuan selain pembinaan jambatan ‘Compact Bailey’ yang merentasi Sungai Langat,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian juga terbabit membina semula rumah yang rosak dan hilang ketika bencana banjir berlaku menerusi Bantuan Rumah Kekal Banjir (RKB) yang akan diberi secara percuma kepada pemilik yang terkesan teruk atau rumah telah dihanyut
arus.
Sementara itu, Dr Mustapha berkata, peranan yang dimainkan oleh Kementerian Kerjaya amat bermakna kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, ini jelas dapat dilihat apabila berlaku bencana alam seperti banjir, ribut yang menyebabkan kemudahan awam seperti jalan raya, cerun dan jambatan rosak.
Menurutnya, langkah-langkah yang dilakukan itu membuktikan keprihatinan kementerian dan kepantasan dalam membantu meringankan beban rakyat yang terkesan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan lain.