Kesan banjir yang teruk di Selangor pada penghujung 2021 telah terbukti pada Januari 2022 bagi pengeluar kereta nasional Proton.

Selepas menamatkan tahun sebelumnya dengan angka jualan tahunan tertinggi sejak 2014, jualan untuk bulan pertama tahun baharu telah menurun disebabkan kekurangan stok yang tersedia.

Syarikat menjual 4,453 unit (domestik + eksport) pada bulan Januari, pengurangan sebanyak 25.3% daripada bulan yang sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3%.

Walaupun kilang pengeluaran Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada bulan Disember, vendor syarikat pula tidak bernasib baik. Ramai yang mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas oleh peningkatan air banjir.

Ini mempunyai kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada bulan Januari yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Tambahan pula, pegangan stok yang rendah dari bulan sebelumnya kerana syarikat tengah berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

“Selepas menamatkan tahun 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi Proton. Situasi kekurangan bekalan kami menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit yang dikeluarkan, yang seterusnya memberi kesan yang teruk bagi pengedar.

“Kami bersyukur kerana pengeluaran untuk semua model telah berjaya disambung semula pada bulan Januari, walaupun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa. Kami yakin dapat mencapai sasaran tahun 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai
Eksekutif, Proton Edar.

Di antara semua model, Proton X50 dan Proton X70 merupakan model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam jumlah jualan Januari.

Sebanyak 2,601 unit Proton X50 dan 799 unit Proton X70 telah dijual pada bulan lepas. Walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan Proton sebagai jenama SUV nombor satu di
Malaysia.

“Proton ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat perkhidmatan rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh.

Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” kata Roslan Abdullah.