Perodua mengalu-alukan inisiatif Baucar Diskaun Automotif oleh kerajaan, yang merupakan sebahagian daripada program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang telah diumumkan baru-baru ini dan menerima baucar tersebut sebagai satu bentuk pembayaran.

“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan mereka dalam membantu mangsa banjir di saat-saat yang diperlukan dan Perodua mengalu-alukan inisiatif baharu ini kerana ia mengukuhkan lagi usaha kami untuk
membantu rakyat Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato Zainal Abidin Ahmad berkata, pada 7 Januari 2022, Kementerian Kewangan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 untuk membantu rakyat Malaysia terutama sekali pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Baucar diskaun automotif boleh digunakan untuk membuat tuntutan terhadap pembaikan atau penggantian kenderaan persendirian yang rosak akibat banjir.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, tarikh akhir tuntutan Baucar Diskaun Automotif ialah pada 31 Mac 2022, dan pemilik kenderaan boleh menebus segera baucar di pusat-pusat servis sah bagi syarikat-syarikat automotif yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Potongan terus akan dibuat daripada jumlah kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

President & CEO Dato’ Zainal Abidin Ahmad

“Inisiatif baucar ini, bersama-sama dengan bantuan kewangan lain di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia, akan membantu rakyat Malaysia untuk pulih dengan segera,” kata Dato’ Zainal.

Beliau berkata usaha seumpama ini dapat dilihat melalui Program Bantuan Banjir Perodua, yang dilancarkan pada 19 Disember 2021 untuk membantu pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

“Sehingga 10 Januari 2022, sebanyak 1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis Perodua yang terletak di seluruh Malaysia untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaikpulih,” katanya.

“Malah, kami telah menyediakan hab pembaikan banjir di Shah Alam untuk membaiki dan memulihkan kenderaan Perodua yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

“Matlamat kami adalah untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir secepat mungkin kerana kami memahami bahawa para pelanggan kami benar-benar memerlukan kenderaan Perodua mereka untuk kegunaan harian,” kata Dato’ Zainal.

Program Bantuan Banjir Perodua termasuk diskaun 50% untuk alat ganti standard, upah kerja percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma melalui nombor Perodua Auto Assist (24 jam) di talian 1800-88-5555 Perodua (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pelanggan Perodua juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Perodua di talian 1800-88-6600 untuk sebarang pertanyaan am.