Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menggesa agar semua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bermuafakat dalam membantu mangsa banjir agar segala bantuan dapat diselaraskan dan agihan dapat dibuat dengan teratur.

Beliau berkata, ini adalah bertujuan untuk mengelakkan mangsa banjir tercicir daripada menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

“Peranan semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Komuniti dan sebagainya adalah sangat penting dalam proses menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan mengelakkan pembaziran bantuan.

“Berdasarkan pengalaman bencana banjir yang dihadapi negara sebelum ini, banyak berlaku pembaziran sumbangan. Sebagai contoh bantuan barangan tertumpu di tempat yang sama dan ada juga bantuan barangan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Mudah-mudahan dengan kerjasama semua pihak, kita dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.

Mustapha baju batik (kanan sekali), Ustaz Mohd Fadzil Abu Kassim Timbalan Pengarah 0perasi Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan (tengah) dan Ustaz Hashim Salleh Pengerusi Persatuan kebajikan Al Furqan Putrajaya (kiri sekali)

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI, Ustaz Mohd Fadzil Abu Kassim bagi membincangkan isu agihan bantuan banjir kepada penduduk yang terkesan.

Turut hadir, bekas Pengarah Dakwah Hakim Ustaz Hashim Salleh yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Al-Furqan Putrajaya.

Mustapha turut menekankan agar semua pihak yang terlibat dalam pengurusan banjir dan agihan bantuan supaya menjaga SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mustapha ketika melawat gerai Pak Din KK di Sentul, Kuala lumpur baru baru ini

“Kita tidak nafikan ia akan memberi cabaran kepada mangsa banjir dan pihak yang membantu. Tetapi kita perlu ingat pandemik Covid-19 ini belum berakhir. Pelbagai varian baru telah muncul sekarang ini seperti delta dan Omicron.

“Tidak hanya wabak Covid-19, penyakit-penyakit bawaan air seperti jangkitan kuman kencing tikus, taun dan sebagainya turut berlaku. Selain itu, keracunan makanan juga boleh terjadi jika termakan atau terminum daripada sumber makanan atau minuman yang tercemar,” katanya.