Sebagai salah satu usaha untuk membantu mangsa banjir besar yang melanda negara hujung minggu lepas, platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DoctorOnCall mengumumkan inisiatif bantuan perubatan untuk mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

Melalui inisiatif tersebut, DoctorOnCall akan menyediakan perkhidmatan perundingan perubatan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir dan memerlukan rawatan dan penjagaan kesihatan. Ubat-ubatan sehingga RM80 juga akan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak mengikut preskripsi dan budi bicara doktor.

Selangor, Pahang, Kelantan dan Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir besar baru-baru ini dengan kebanyakan jalan utama dinaiki air menyebabkan ramai yang terkandas sementara menunggu air surut dan kemudahan prasarana asas seperti bekalan air dan elektrik kembali pulih.

Mereka juga menghadapi masalah pengangkutan kerana kebanyakan kenderaan rosak teruk selepas dimasuki air dan dianggarkan ia membabitkan sekurang-kurangnya 50,000 kenderaan.

Keadaan tersebut menyebabkan banyak hospital dan kemudahan perubatan di sekitar kawasan banjir tidak boleh diakses oleh orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan kerana jalan ditenggelami air dan seterusnya menyukarkan mereka untuk mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menjadikannya amat terhad.

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata: “Sebagai tanggung jawab kepada masyarakat,  DoctorOnCall sedia membantu dengan menawarkan bantuan kepada mangsa banjir yang memerlukan rawatan perubatan.

“Kami akan menyediakan khidmat perundingan percuma dan rawatan kesihatan primer kepada pesakit dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah pantas, cekap, teratur dan berkesan. Kami juga akan memberi keutamaan kepada pesakit yang mengetahui mengenai keadaan rawatan perubatan mereka, sukar mengakses hospital dan juga orang kurang upaya.

“Menggunakan platform telekesihatan DoctorOnCall, mangsa banjir akan dapat berunding dengan doktor berdaftar kami secara maya,” katanya dalam kenyataan.

DoctorOnCall juga telah menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk doktor dan jururawat di beberapa kawasan yang terjejas untuk menyediakan perkhidmatan sokongan perubatan mudah alih di tapak termasuk ubat-ubatan, ujian untuk COVID-19, denggi dan penyakit lain serta penjagaan luka jika diperlukan oleh mangsa yang dipindahkan.