UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) terus giat menghulurkan bantuan kepada komuniti terkesan banjir di seluruh Malaysia dengan menyalurkan sumbangan tambahan berjumlah RM85,000 berupa barangan keperluan asas seperti toto dan makanan.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, “UDA mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan bantuan ke beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor iaitu di Klang, Kuala Selangor, Kapar dan Kota Raja, pada 23 Disember lalu.

“Ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Kuala Selangor, UDA turut berkesempatan menyantuni tiga keluarga iaitu Mazlan Md Isa, Khairiah Kamarudin dan Rahim Kamarudin yang terkandas di Jalan Sepakat, Kampung Parit Mahang, Jeram.

“Sebelum itu, UDA bersama-sama MEDAC turut mendekati mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Hulu Langat bagi memberikan bantuan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA (dua dari kiri) bersama Puan Radziah Mohamed Fadzil, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA (kanan) menyerahkan bantuan tambahan berupa keperluan asas seperti toto ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kapar, Selangor

UDA turut menjelajah ke wilayah perniagaannya di Negeri Sembilan dengan menyalurkan sumbangan keperluan seperti toto kepada mangsa bencana banjir di Port Dickson dan Jelebu, pada 24 Disember lalu. UDA juga menyerahkan bakul makanan di wilayah timur iaitu di Kuala Terengganu, semalam. Sebanyak 500 toto juga bakal diedarkan kepada mangsa banjir di sekitar Pahang dalam masa terdekat.

UDA telah menyalurkan bantuan bernilai RM50,000 pada hujung minggu lalu menjadikan jumlah sumbangan terkumpul setakat hari ini ialah RM135,000.

UDA bersama anak syarikat AnCasa Hotels & Resorts memulakan misi bantuan banjir pada hari Ahad minggu lalu dengan menyumbangkan 1,000 pek makanan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai serta 600 bakul makanan ke beberapa buah PPS di Seremban, Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Selain itu, UDA menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd turut membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Kuala Langat.

UDA menerusi Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan, Bahagian Modal Insan Kumpulan, Badan Kebajikan Kakitangan UDA (BKKU) serta Badan Didikan Islam UDA (BADIM) turut membantu kakitangan yang terkesan dengan memberikan cuti khas, bantuan kewangan, makanan, barang keperluan serta sukarelawan bagi membantu membersihkan kediaman.