Myvi generasi ketiga Perodua telah menerima penambahbaikan yang mana model utamanya akan didatangkan dengan teknologi yang dinaiktaraf, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang ‘sporty’ serta warna baharu (tertakluk kepada terma).

“Penambahbaikan ini mewakili usaha kami dalam memenuhi jangkaan para pelanggan kami yang semakin meningkat dan pada masa yang sama menawarkan nilai yang lebih hebat dengan memperkenalkan Standard Terbaharu untuk model paling diterima di Malaysia, Perodua Myvi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Varian Myvi Baharu termasuk 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X serta dua varian 1.3 liter G . Semua varian hanya didatangkan dalam transmisi Automatik kerana Perodua telah menghentikan transmisi manual daripada barisannya.

“Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi Baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” katanya.

Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Perodua Myvi Baharu ini juga turut memperkenalkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV. Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue. (Sila lihat ilustrasi yang dilampirkan)

Julat harga bagi Myvi Baharu ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans).

Sila layari pusat pameran jualan Perodua yang berhampiran atau hubungi penasihat
jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan
Myvi Baharu.