Sempena pengumuman negara Thailand yang kini mengalu-alukan pengunjung yang telah divaksin sepenuhnya dari mana-mana negara tanpa kuarantin semasa ketibaan, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) akan menyambung semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Thailand bermula 5 November 2021.

Untuk memulakan semula perjalanan tanpa kuarantin ke Thailand, AirAsia akan beroperasi dengan jadual penerbangan mingguan sebanyak 4 kali penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok (2 kali seminggu) dan Phuket (2 kali seminggu).

Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah mengikut peningkatan permintaan perjalanan dengan pembukaan lebih banyak destinasi percutian pada masa akan datang, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa.

Bermula 1 November hingga 7 November 2021, para tetamu boleh menempah penerbangan ke Bangkok dan Phuket daripada hanya RM50 sehala dan tempoh perjalanan antara 5 November 2021 hingga 28 Februari 2022 melalui ikon ‘Flights’ di airasia Super App.

Para tetamu juga boleh mendapatkan tawaran pakej penerbangan dan penginapan melalui ikon ‘SNAP’ di airasia Super App bermula hanya RM239 untuk perjalanan dalam tempoh yang sama. Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon ‘Hotels’ untuk menempah hotel yang disenaraikan di bawah SHA Plus dan menikmati diskaun 10% dengan kod promosi AAHOTEL10.

Pengunjung yang telah divaksin sepenuhnya dari Malaysia dan ingin bercuti ke Thailand perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Thailand sebelum membeli tiket penerbangan mereka dan sebelum ketibaan.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami teruja dan telah bersedia sepenuhnya untuk menyambung semula penerbangan ke Thailand. Dari segi operasi, kami telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan tenang.

Kami telah melihat sambutan yang menggalakkan daripada para tetamu melalui program Phuket Sandbox dengan lebih lapan kali ganda tempat duduk telah dijual termasuk tempahan pada masa akan datang yang melambangkan pemulihan sektor pelancongan.

“AirAsia berbangga untuk menyokong inisiatif oleh kerajaan Thailand dan berbesar hati untuk mengendalikan lebih banyak penerbangan ke pelbagai destinasi lain di negara tersebut.

“Para tetamu AirAsia juga sentiasa dijamin dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini.”

Puan Nongyao Jirundorn, Pengarah Malaysia & Brunei, Lembaga Pelancongan Thailand berkata, “Kami berbesar hati dengan pembukaan semula Thailand pada hari ini. Sejak 1 November, Thailand telah membuka sehingga 17 daerah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Hua Hin, Phuket dan Samui.

Hampir semua perniagaan dan aktiviti kini boleh disambung semula dan beroperasi dalam keadaan kebiasaan baharu. Thailand juga telah meluluskan sejumlah 63 negara (sebelum ini 46 negara) yang layak untuk memasuki ke Thailand tanpa perlu kuarantin serta mengurangkan jumlah insurans kepada USD50,000. Ini memudahkan kemasukan ke Thailand dan menjadikan Thailand destinasi pelancongan pilihan.”