Nikmati tambang promosi RM13 antara Sabah dan Sarawak, serta RM99 ke/dari Semenanjung

AirAsia akan menambah kekerapan penerbangan ke, dari dan dalam negeri Sabah bermula 1 November berikutan keputusan kerajaan negeri untuk melonggarkan syarat kemasukan kepada rakyat Malaysia dan warganegara asing sempena pembukaan semula sektor pelancongan domestik.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah telah mengumumkan bahawa pelawat dari luar negeri tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan kemasukan dari kerajaan negeri dan pihak polis mulai 1 November.

Selain menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya, para pelawat hanya perlu mengemukakan keputusan negatif Covid-19 sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK-AG.

Pelawat yang berumur antara 12 dan 18 tahun mestilah telah menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada dua dos vaksin Covid-19, dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mestilah melakukan perjalanan dengan ibu bapa atau penjaga yang telah divaksin sepenuhnya.

Bermula hari ini hingga 7 November, para tetamu boleh menempah penerbangan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau serendah RM99 sehala, manakala penerbangan antara Sabah dan Sarawak hanya serendah RM13 sehala.

Penerbangan ini sedia ditempah di airasia Super App sekarang dengan menekan ikon ‘Flights’ untuk tempoh perjalanan bermula 8 November 2021 sehingga 29 Oktober 2022. Para tetamu yang mempunyai Akaun Kredit juga boleh menggunakannya untuk menebus penerbangan ini. Promosi adalah terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Kami ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah yang telah kembali membuka perjalanan ke negeri tersebut. Kini, bukan sahaja rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dengan kekerapan penerbangan kami yang lebih tinggi untuk pulang ke kampung halaman mereka, malah ramai pelancong dapat menerokai Sabah yang kaya dengan alam semula jadi, juadah yang enak dan rakyat yang peramah.

“Kami bersedia untuk kembali memulakan perjalanan ke Sabah dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat untuk menjaga kesejahteraan para tetamu dan kakitangan kami. AirAsia akan mengendalikan hampir 300 penerbangan mingguan mulai 1 November, menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah dengan Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, menandakan peningkatan sebanyak 75% daripada lebih 170 penerbangan mingguan pada masa ini.

“AirAsia adalah pemain jangka panjang dalam industri pelancongan Sabah dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Sabah dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk memastikan standard pematuhan tertinggi bagi setiap penerbangan yang dikendalikan.”

Pelancongan adalah penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Sabah selepas sektor pertanian dan pembuatan, serta menyediakan lebih daripada 80,000 pekerjaan di negeri ini.