Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 2020 dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkuatkuasa hari ini.

Majlis ringkas penyerahan Watikah Pelantikan di sempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.

Dr Mohd Zamri yang mewakili Naib Canselor berkata, ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan di atas pengalaman dan pengetahuan Dr Mustapha dalam aktiviti kesukarelawan.

“Beliau juga banyak mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara, justeru pihak universiti berharap beliau dapat mencurahkan ilmu pengetahuan untuk kepentingan akademik, UMT dan para graduan.

Prof Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim (kiri) menunjukkan Watikah Pelantikan Profesor Adjung kepada Dato Dr Mustapha (tengah) disaksi oleh Mohd Nor Sukri Abd Rahman (kanan sekali)

“Pemilihan beliau sebagai Profesor Adjung di UMT adalah berdasarkan pengalamannya yang sangat luas di dalam pelbagai aktiviti NGO dalam dan luar negara yang pernah beliau lakukan,” katanya pada majlis ringkas penyerahan watikah pelantikan di UMT, Gong Badak, Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mustapha akan memainkan peranan sebagai usaha merapatkan jurang antara universiti dengan program-program NGO berbentuk kebajikan, keusahawanan, kepimpinan, kerohanian dan sebagainya.

Katanya, ini juga akan dapat membantu universiti dalam memberi idea, terutamanya pembinaan program akademik sebagai satu usaha pembangunan sahsiah dan bimbingan akademik mahasiswa apabila mereka tamat pengajian kelak.

Menurutnya, ini adalah kali pertama dalam sejarah UMT memberi pengiktirafan yang tinggi kepada Tokoh NGO Antarabangsa kerana peranan beliau dalam membantu masyarakat khususnya melibatkan kebajikan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dr Mustapha berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli senat UMT yang meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya dalam mencurahkan pengalamannya bergiat aktif sebagai NGO kepada penuntut di UMT.

“Saya amat berterima kasih di atas pelantikan ini dan Insyallah saya akan cuba menyumbang sebaik mungkin pengetahuan serta pengalaman saya selama 22 tahun dalam NGO Antarabangsa dan pengalaman 33 tahun dalam perkhidmatan Kerajaan,” katanya.

Antara jasa beliau ialah pembinaan masjid, surau , sekolah, perigi, menyediakan tanah perkuburan bagi orang Islam serta turut membantu golongan anak-anak yatim orang miskin dan mualaf.

Beliau disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa malah pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk dari kerajaan Arab Saudi.

Datuk Dr Mustapha juga turut terlibat sebagai penceramah secara sukarela di Institut Pengajian Tinggi (IPT) berkaitan pelbagai isu semasa termasuklah motivasi dan kerjaya kepada para graduan sewaktu pandemik Covid-19 sehingga kini.

Dato Dr Mustapha berasal dari Kuala Terengganu mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Kuala Terengganu.

Beliau memperolehi Ijazah pertama dari Universiti Malaya dalam pengajian Sains Sosial sebelum menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Undang-undang Perniagaan dari UKM dan memperolehi Doktor Falsafah Undang-undang Antarabangsa Kehormat dari kerajaan Kemboja.

Beliau pernah memasuki USM dalam bidang penulisan kreatif dan kewartawanan, Diploma Lingustik dari Universiti Malaya, dan menjadi pelajar terbaik. Beliau kemudian meneruskan pengajian dalam Diploma Lanjutan di Universiti Pertahanan Taiwan dalam bidang strategi dan Hubungan Antarabangsa juga mendapat anugerah pelajar terbaik.

Beliau telah berkhidmat dalam Kerajaan selama 33 Tahun bermula sebagai pegawai Tentera Laut, Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di MINDEF seterusnya pegawai di KDN, Wisma Putra, SPA dan Kementerian Wilayah.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Ketua Eksekutif GLC Utama Negeri Terengganu, iaitu Terengganu InC.