Perkara pertama yang bermain difikiran penulis ialah bagaimana nak membezakan fon telinga terbaharu Galaxy Buds2 dengan Galaxy Buds Pro yang pernah diuji pada tahun lalu.

Jika diletak bersebelahan hampir sukar membezakan fon telinga ini namun persoalan itu hanya dapat dijawab apabila fon telinga Galaxy Buds2 digenggam dalam tangan dan dapat dirasakan beratnya berbeza sedikit.

Berdasarkan kepada spesifikasi atas kertas, Galaxy Buds2 adalah lebih ringan iaitu hanya 5 gram setiap satu berbanding 6.3 gram bagi Buds Pro. Ciri penambahbaikan yang dilakukan gergasi pengeluar peranti terkemuka dari Korea Selatan ini menjadikan fon telinga terbaharu ini lebih eksklusif.

Dengan gaya yang lebih tirus memberikan keselesaan ketika memakainya dan fon telinga ini dilancarkan bersama-sama siri model telefon pintar Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3 pada harga yang lebih rendah berbanding fon telinga terdahulu.

Apa ciri yang menarik pada peranti yang diuji Prebiu.com kali ini ialah, ia bukan sahaja mempunyai fungsi pembatalan hingar aktif (ANC), tetapi turut mempunyai pelbagai fungsi audio yang menyeronokkan dan mudah dikawal pada aplikasi Galaxy Wearable.

Apa itu ciri pembatalan hingar aktif (ANC)?

Ciri ini memudahkan anda mendengar dengan lebih jelas dan membuang bunyi luar secara automatik.

Fon telinga nirwayar ini hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC)– sekaligus memudahkan anda mendengar dengan lebih jelas, dan membuang bunyi luar yang membantu secara automatik. Samsung berkata, ANC pada Buds2 boleh menghalang sehingga 98% bunyi luaran dari memasuki telinga.

Pada fon telinga nirwayar ini, Samsung turut menekankan kepada kualiti audio dengan sekali lagi menggunakan sistem speaker berasingan sebesar 11mm untuk tweeter dan 6.5mm untuk woofer.

Rekaan putik audio adalah dari jenis dalam telinga dengan penyumbat silikon. Terdapat 3 saiz penyumbat silikon disediakan kepada pembeli iaitu S, M dan L serta wayar pengecas jenis USB-C.

Samsung Galaxy Buds2 ini juga boleh mengesan secara aktif apabila anda sedang bercakap, sekaligus mengawal kadar bunyi audio pada fon telinga secara automatik.

Maka anda boleh terus menggunakan fon telinga ini tanpa perlu menanggalkannya sambil bercakap dengan seseorang atau ketika anda mahu memesan makanan kegemaran anda.

Bagaimanapun, Galaxy Buds2 kali ini juga disertakan dengan ciri kalis air IPX7,  selesa dan sesuai untuk digunakan ketika anda sedang bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan.

Sesuai untuk mereka yang bekerja dari rumah (WFH)

Selain itu, sesuai dengan gaya hidup masa kini yang memerlukan anda bekerja dari rumah (WFH) apabila negara dilanda wabak pandemik COVID-19, fon telinga ini cukup sesuai bagi mereka yang perlu melakukan atau terbabit dengan panggilan video yang banyak khususnya menerusi mesyuarat secara sidang video.

Ini kerana tahap kejelasan audio yang terhasil cukup memuaskan apabila bunyi Bass dapat dirasakan dengan hebat manakala bunyi Treble pula lantang seolah-olah anda sedang berada dalam bilik kedap bunyi.

Meskipun fon telinga ini hanya bersaiz kecil namun mutu bunyi oleh AKG yang dihasilkan boleh diberikan pujian dan menerusi aplikasi Galaxy Wearable, kawalan bunyi treble dan bass boleh dikawal menerusi tetapan yang disediakan.

Sensor pintar pada fon telinga ini akan mengesan arah bunyi apabila anda menggerakkan kepala sekali gus merasai tahap kejelasan bunyi yang hebat seakan anda berada dalam panggung wayang.

Ciri tukaran auto pula membolehkan fon telinga ini mengubah sambungannya sama ada kepada tablet atau telefon apabila diperlukan. Misalnya, apabila anda sedang menggunakan fon telinga ini yang ketika itu disambungkan kepada tablet untuk menonton wayang akan tiba-tiba beralih kepada telefon apabila menerima panggilan.

Sebaik sahaja anda sudah habis bercakap, fon telinga ini akan bersambung semula kepada tablet secara automatik tanpa perlu anda menekan kepada skrin. Hebat bukan!

Mudah dikesan jika tercicir

Anda juga boleh menukar sambungan antara peranti Samsung lain dengan menyebut nama peranti dan juga mengaktifkan ciri ANC atau mod Ambient.

Galaxy Buds2

Satu lagi ciri menarik ialah anda boleh mengesan kedudukan fon telinga ini jika ia tercicir atau anda terlupa kali terakhir anda meletakkannya. Hanya perlu buka aplikasi SmartThings dan aktifkan butang mencari fon telinga.

Galaxy Buds2 akan menghasilkan bunyi beep dengan jelas dan jika dalam mod Offline, anda masih boleh mencari lokasi terakhir fon telinga ini digunakan walaupun ia tidak lagi disambungkan kepada peranti anda.

Boleh bertahan sehingga 20 jam

Rakan anda yang memiliki fon telinga yang sama boleh berkongsi muzik yang dimainkan pada peranti telefon pada masa yang sama. Jadi, anda dan rakan baik anda boleh mendengar muzik kegemaran bersama-sama.

Selain kualiti bunyi tinggi dan rendah yang hebat, fon telinga ini boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi tanpa masalah.

Apabila ANC diaktifkan Buds2 boleh beroperasi sehingga 5 jam dan boleh bertahan sehingga 20 jam dengan pod pengecas serta ANC tidak diaktifkan. Pengecasan semula secara berwayar mengambil masa dua jam menerusi port USB-C tetapi turut boleh dicas menggunakan pengecas nirwatar Qi.

Galaxy Buds2

Sensor pada putik telinga boleh mengesan apabila ia ditanggalkan dari telinga untuk menghasilkan muzik secara automatik.

Selain ANC, Buds2 juga boleh mengaktifkan mod Ambience Mode yang membenarkan audio dari luar didengari tanpa fon telinga ditanggalkan. Menerusi aplikasi Samsung Wearable, tiga tahap Ambience Mode boleh diaktifkan.

Bagi yang ingin bersukan, TWS ini melepasi piawaian IPX7 yang menjamin ia kalis peluh. Dengan ciri Auto Switch, Bud2 secara automatik boleh ditambat dengan mudah pada telefon pintar, tablet dan jam tangan pintar keluaran Samsung.

Galaxy Buds2 menawarkan empat warna menarik iaitu White, Graphite, Olive dan Lavender.

Harga

Samsung Galaxy Buds2 ini ditawarkan pada harga RM499. Harga ini boleh dianggap berbaloi berbanding fon telinga terdahulu dengan beberapa ciri baharu yang ditawarkan.

Kesimpulan

Memiliki sepasang fon telinga Galaxy Buds2 ini memang menyeronokkan apatah lagi anda sememangnya aktif mendengar alunan muzik tanpa gangguan. Selain rekaannya yang cukup menarik dan sesuai dengan citarasa golongan muda atau dewasa masa kini, anda tentunya kelihatan ‘trendy’ setiap kali menyarungkan fon telinga ini di mana sahaja anda berada.

Padanan ciri teknologi terkini dalam penghasilan peranti ini boleh dianggap berbaloi untuk dimiliki sesiapa sahaja.

Galaxy Buds2 boleh dihubungkan dan dikawal sepenuhnya dari jam pintar terbaharu siri Galaxy Watch4 dan mana-mana peranti Samsung dengan memuat turun aplikasi Galaxy Wearables.

Fon telinga ini didatangkan dengan bahagian luaran pod berwarna putih dengan putik audio manakala dalaman sahaja dengan pilihan empat warna berbeza.

Apa yang menariknya, anda boleh menjadikan fon telinga eksklusif keluaran Samsung ini sebagai hadiah istimewa kepada rakan atau teman.