Kehadiran beberapa model telefon pintar kelas pertengahan menyaksikan pengeluar peranti dunia berlumba-lumba memperkenalkan model terbaharu bagi memenuhi permintaan semasa.

Bagi pengguna Malaysia misalnya, permintaan kepada peranti jenis ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan pelajar sekolah kini beralih kepada kelas berbentuk pembelajaran dalam talian disebabkan penularan wabak COVID-19.

Aspek yang diutamakan tentunya ialah skrin bersaiz sederhana dan sistem pemprosesan yang berupaya memastikan kaedah pembelajaran tidak terganggu disebabkan oleh masalah peranti.

Tidak ketinggalan peranti keluaran Oppo yang mempertaruhkan model pertengahan Oppo Reno6 Z dilengkapi skrin 6.4-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ pada tanda harga RM1,699.

Rekabentuk

Rekaan peranti ini agak menarik kerana menggunakan bingkai logam yang dibulatkan dan dipadankan dengan panel belakang plastik manakala bonggol kamera berbentuk empat segi.

Rekaan kameranya dilihat tidak terlalu menonjol jika menggunakan sarung plastik lutsinar (disertakan dalam setiap pembelian) apabila diletakkan pada tempat yang rata. Paling menarik ialah peranti ini selesa dipegang kerana panel belakangnya menggunakan permukaan plastik yang kasar sekali gus mengurangkan kesan cap jari atau habuk.

Nak tahu berapa piksel pada kamera utama agak mudah kerana sudah tertera jelas pada bingkai kamera iaitu 64 MP AI Camera. Tak payah nak tercari-cari dalam menu peranti ini.

Rekaan peranti ini juga mesra pengguna kerana butang kuasa peranti ini diletakkan pada sisi kanan manakala butang laras suara pada sisi kiri. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang teguh dan mudah digunakan.

Terdapat slot untuk SIM pada sisi kiri dengan keupayaan menyokong 2 SIM nano dan satu kad mikro SD yang boleh digunakan secara serentak.

Melihat kepada rekaan dibahagian bawah pula dilengkapi bicu audio 3.5mm bersama dengan sebuah pembesar suara mono.

Bagaimanapun, tiada sokongan audio stereo dan sistem audio Dolby Atmos yang biasanya ada pada peranti kelas pertengahan buatan Korea Selatan.

Begitu juga dengan ciri kalis air yang semakin diperlukan dalam keadaan cuaca negara beriklim Khatulistiwa ini yang seringkali hujan secara tiba-tiba. Mungkin Oppo akan mengambil kira menambahkan ciri-ciri ini apabila menghasilkan peranti baharu pada masa depan.

Skrin

Melihat kepada skrin, paparan warna pada skrin 6.4-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ menghasilkan warna yang menarik dan menyerlah. Fungsi menatal pada peranti ini mudah digunakan sama ada ketika jari digerakkan dari atas ke bawah dan sebaliknya.

Jika mahu menggunakan mod hitam, tekan sahaja butang pada skrin dan apa yang menarik pada peranti Oppo ini ialah tersedianya butang Screen Recording yang mana anda boleh merekod video YouTube misalnya atau siaran langsung sesuatu majlis yang dijalankan menerusi dalam talian seperi facebook.

Ciri ini adalah satu kelebihan yang ada pada Oppo Reno6 Z dan amat praktikal ketika kebanyakan pengguna banyak bergantung kepada peranti dalam segala urusan harian khususnya dalam era pandemik COVID-19.

Peranti ini turut mempunyai pengimbas cap jari terbina di bawah skrin dari jenis optikal selain dilengkapi cip pemprosesan Dimensity 800U Octa-core dan versi Android 11.

Kamera 

Perkara pertama yang sering diutamakan apabila memiiki peranti pintar ialah ciri kameranya.

Oppo Reno6 Z dilengkapi sistem tri-kamera pada bahagian belakang dengan lensa utama bersaiz 64MP, lensa ultra sudut lebar 8MP dan lensa makro 2MP.

Sokongan zoom optikal hanya pada kadar 10 kali ganda sahaja manakala ciri rakaman video pula adalah sehingga 4K 30FPS.

Ciri kemampuan kamera pada peranti ini amat baik pada sebuah peranti kelas pertengahan kerana hasil gambar kelihatan jelas dan nyata khususnya dalam keadaan pencahayaan yang baik termasuk ketika zoom digital digunakan.

Ciri kamera swafoto pula 32MP namun hasilnya kurang tajam dan seharusnya gambar lebih cantik namun hasilnya kelihatan sederhana dan kesemua cirinya mungkin bergantung kepada kegunaannya.

Untuk menyimpan semua gambar ini tidak mempunyai masalah kerana ia dipadankan dengan memori 8GB RAM (tambahan 5GB RAM), storan dalaman 128GB dan bateri berkapasiti 4310mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W.

Jika mahu merakam gambar pada waktu malam tekan sahaja mod Night dan anda diberi pilihan sama ada mahu merakam terus atau menggunakan tripod bagi gambar yang dirakam menerusi kiraan saat.

Untuk merakam gambar malam, anda boleh memilih sama ada mod untuk menggunakan tripod atau mod tanpa tripod. Bezanya, ialah menggunakan tripod rakaman gambar mengambil masa kira-kira 22 saat dan hasilnya gambar lebih baik berbanding mod biasa.

Perisian

Peranti ini dipadankan dengan versi Android 11 dan pelancar ColorOS 11.1. Sistem memori 8GB yang ditawarkan adalah cukup besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Menggunakan peranti ini selama 3 minggu dirasakan lancar dan pantas walaupun ini adalah kali pertama Prebiu.com diberi peluang menguji peranti keluaran OPPO ini sekali gus mengubah persepsi negatif mengenai peranti ini.

Pelbagai ciri menarik turut disertakan seperti mod kanak-kanak, mengubah keseluruhan tema peranti, gestur, Oppo Share dan sokongan multi window.

Keupayaan cip jenis Dimensity 800U sudah cukup memadai untuk menggunakan peranti ini ketika bermain game seperti Mobile Legend ataupun PUBG Mobile.

Apa yang menarik ialah tiada isu pemanasan yang melampau dikesan apabila menggunakan peranti ini dalam tempoh yang panjang.

Peranti ini juga berfungsi dengan cemerlang apabila aplikasi seperti Waze dan Maps diaktifkan selain aplikasi-aplikasi lain tanpa sebarang masalah.

Bateri

Keupayaan bateri 4310 mAh juga mampu menjadikan peranti ini dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana. Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 60 minit menerusi pengecas 30W yang disertakan dalam kotak.

Peranti ini menggunakan kabel jenis USB-C yang mampu memberikan pengecasan yang pantas atau memindahkan sebarang maklumat ke dalam komputer.

Kesimpulan

Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, prestasi yang diberikan adalah memuaskan dan masih lagi lancar sungguhpun tanpa sokongan skrin 90Hz dan menggunakan cip MediaTek.

Dari segi penawaran ciri, Oppo berjaya menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding peranti keluaran lain. Setiap peranti memiliki ciri tersendiri dan apa yang penting ialah ‘ciri mesra pengguna’ yang perlu ada sebagai satu kaedah menarik perhatian pengguna masa kini.

Dalam setiap pembelian peranti ini, anda akan dibekalkan dengan fon telinga dan set lengkap wayar pengecas jenis USB-C.

Ini kerana pasaran peranti kelas pertengahan amat berdaya saing dan harus menawarkan ciri tambahan.

Bagaimanapun, ciri yang boleh dipuji pada peranti Oppo Reno6 Z ini ialah rekaan yang selesa ditangan, skrin Amoled yang cantik dan aplikasi siap bina yang ditawarkan kepada pengguna.

Namun, penulis mencadangkan mungkin pada masa depan, pengeluar peranti ini meningkatkan ciri baterinya berbanding sekarang hanya 4310 mAh kerana kita sedia maklum bahawa dewasa ini ramai yang gemar melayari laman web termasuk laman sosial seperti Facebook atau Instagram.

Selain itu, mungkin Oppo boleh memperbaiki ciri membuka skrin peranti ini pada satu hari nanti dengan hanya menekan jari beberapa kali pada skrin berbanding sekarang perlu menekan butang yang agak mengambil masa.