Sebagai persediaan untuk penyambungan semula perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) hanya akan menerima tetamu dewasa yang telah divaksin sepenuhnya di dalam penerbangannya, berkuat kuasa serta-merta.

Para tetamu di bawah umur 18 tahun yang belum divaksin atau mendapat vaksinasi sepenuhnya mestilah ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah divaksin sepenuhnya.

Ini adalah sebahagian daripada pelan mitigasi Covid-19 oleh AirAsia untuk memastikan standard keselamatan tertinggi bagi para tetamu dan kakitangannya. Semua penerbangan AirAsia hanya akan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.

AirAsia juga telah mewajibkan para tetamu untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App yang membolehkan mereka melalui proses perlepasan dan menaiki pesawat menggunakan pas masuk elektronik (e-Boarding Pass), yang meminimumkan interaksi fizikal dengan kakitangan kami seperti sentuhan pas masuk menggunakan kertas dan merupakan kunci untuk membendung penyebaran Covid-19 dan virus lain.

Tertakluk kepada beberapa pengecualian, bayaran akan dikenakan untuk daftar masuk melalui kaunter di lapangan terbang.

Para tetamu hanya perlu memuat turun airasia Super App di telefon pintar mereka dan memanfaatkan aplikasi tersebut sepenuhnya.

Ia adalah satu-satunya aplikasi perjalanan yang mereka perlukan, bermula dengan tempahan penerbangan dan penginapan, daftar masuk, pengesahan dokumen kesihatan sehinggalah kepada pas masuk elektronik, perlepasan melalui sistem pengecaman wajah FACES dan pelbagai perkhidmatan semasa dalam penerbangan.

AirAsia telah membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh yang membolehkan para tetamu terbang dengan lebih selesa dan selamat.