Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), sebuah agensi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pembinaan keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian, telah melancarkan program pembiayaan baharu untuk doktor awam dan pakar perubatan ingin mendapatkan pensijilan Membership Royal College of Physicians UK and Ireland (MRCP) pengkhususan perubatan dalaman.

Mengambil inspirasi daripada program Latihan Kepakaran Parallel Pathway yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), program baharu di bawah teras Peneraju Spesialis tersebut menyasarkan pegawai perubatan dan pelatih perubatan yang tidak mendapat tajaan daripada Kerajaan Persekutuan atau badan penaja lain untuk meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang perubatan.

Sesi induksi untuk 66 pegawai perubatan dari hospital awam dan universiti sebagai kumpulan pertama program tersebut telah dijalankan secaya maya baru-baru ini bersama tetamu kehormat, Dato’ Dr. Norhizan Ismail, mantan Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM).

Some of the 66 medical officers from the public and university hospitals, the first cohort of the programme during a virtual induction session with Dato’ Dr. Norhizan Ismail, former Deputy Director General (Medical) of Ministry of Health (MOH).

Mengulas mengenai program teras baharu itu, Kolonel Bersekutu (PA) Ts. Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, berkata Peneraju Spesialis
menyediakan laluan alternatif buat pegawai perubatan untuk menjadi pakar di Malaysia selain mengikuti pengajian pasca siswazah sama ada di universiti tempatan atau luar negara.

“Bantuan pembiayaan termasuk bantuan awal sekali beri, tuisyen dan peperiksaan / yuran profesional yang akan dibayar melalui kaedah pembayaran balik selepas lulus setiap
bahagian atau peperiksaan.

Mohd Muzzammil Ismail

“Permohonan untuk pengambilan seterusnya akan dibuka pada bulan September dan kami menyasarkan untuk membiayai 200 pegawai perubatan, sama ada berjawatan tetap atau kontrak, pada akhir tahun ini,” tambahnya.

Menurut unjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Malaysia memerlukan kira-kira 13,000 pakar perubatan berbanding 8,000 pada masa sekarang.

“Dari 135 hospital awam di seluruh Malaysia, hanya 51 daripadanya menyediakan khidmat pakar perubatan.

“Oleh itu, kami berbesar hati untuk menjalankan program ini bagi memberi laluan lebih ramai pegawai perubatan Bumiputera memperoleh sijil kepakaran mereka terutama dari segi bantuan kewangan dan membolehkan mereka menggunakan kepakaran mereka di lebih banyak hospital awam di Malaysia, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merealisasi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu mencapai akses sejagat kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

“Pelaksanaan program ini juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk mengembangkan Pusat Kecemerlangan,” katanya.

Program selama empat hingga enam tahun ini mendapat pengiktirafan dari National Specialist Register (NSR) dan telah menerima pelbagai anugerah dari institusi antarabangsa seperti Membership of Royal College Physician (MRCP), Member/Fellow Royal College of Obstetricians and Gynecologists (MRCOG), Membership Royal College of Pediatrics and Health Health (MRCPCH) & The College of Anesthesiologist Ireland (FCAI).

Kelayakan calon untuk menyertai program ini adalah Bumiputera, mesti berumur 45 tahun ke bawah pada tarikh tutup permohonan, bekerja di sektor kerajaan dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MRCP UK / Ireland di mana latihan dan peperiksaan akan dijalankan di pusat yang diiktiraf di dalam negara atau melalui kolaborasi dengan pusat di luar negara.

“Mereka yang telah menamatkan sekurang-kurangnya tahun pertama latihan, tidak kurang dari tiga tahun perkhidmatan berstatus tetap atau kontrak dengan KKM dan telah mendaftar untuk Parallel Pathway (MRCP) dengan kementerian itu boleh memohon untuk mengikuti program ini bagi pengambilan berikutnya,” kata Mohd Muzzammil.

Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Agensi ini telah merealisasi aspirasi lebih 39,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui lebih 350 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM860.7 juta dalam tempoh sembilan tahun.

Maklumat lanjut mengenai program Peneraju Spesialis, sila layari www.yayasanpeneraju.com.my atau ikuti www.facebook.com/yayasanpeneraju .