Maybank Islamic Berhad baru-baru ini melancarkan inisiatif Halal Route to Market Program (HalMap) dengan objektif utama untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk halal keluaran tempatan di luar Malaysia.

Program ini akan dimulakan dengan pemilihan sepuluh PKS yang layak untuk menceburi
pasaran makanan halal di Singapura.

Di bawah program ini, PKS akan dibekalkan dengan platform pengedaran, perkhidmatan
nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam sektor barang pengguna laris
atau Fast Moving Consumer Goods (FMCG).

Sepuluh PKS tersebut dijangka dapat mempromosikan 50 produk mereka di rak-rak produk
makanan Malaysia yang terletak pasar raya dan kedai runcit khas yang dipanggil Eccellente
by HAO Mart yang terletak di @Kinex Mall, Singapura, pada suku keempat tahun ini.

Maybank Islamic juga menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan amaxMALL Sdn Bhd (amaxMALL) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menjayakan program ini.

AamaxMALL merupakan satu platform perniagaan dalam talian dan fizikal untuk PKS dan mereka akan bekerjasama dengan HAO Mart untuk memasarkan dan mempromosikan produk PKS secara fizikal dan dalam talian.

Kerjasama dengan amaxMALL dan MATRADE adalah sebahagian daripada usaha berterusan
Maybank Islamic untuk memanfaatkan pasaran Halal yang terus berkembang dengan
meningkatkan kesedaran industri Halal, meningkatkan jumlah syarikat baharu yang disahkan Halal sekaligus membantu perniagaan mereka berkembang di pasaran Halal luar negara.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada pelan kami bagi menyediakan akses ke pasaran
di luar Malaysia untuk PKS tempatan memperluaskan perniagaan mereka dan membawa
perniagaan halal ke peringkat global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan.

Dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh PKS kerana persekitaran penularan COVID-19,
HalMap dapat menjadi saluran baharu disamping memberi peluang tambahan kepada
pelanggan PKS Maybank Islamic untuk memperluaskan operasi mereka.

Mohamed Rafique menambah, pihak bank berharap inisiatif ini dapat membantu memastikan PKS tempatan tetap berdaya tahan, walaupun sedang menghadapi banyak
rintangan dan cabaran ketika ini.