Kakitangan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) prihatin dengan kisah yang tular baru-baru ini mengenai 8 orang adik-beradik yang kehilangan kedua ibu-bapa mereka akibat pandemik COVID-19.

Kakitangan Yayasan Peneraju telah menyalurkan sumbangan yang disampaikan diusulkan
oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts. Mohd Muzzammil Ismail setelah kisah
menyayat hati itu tular dan sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban
mereka.

Muzammil secara peribadi telah menyampaikan sumbangan wang tunai, makanan dan
keperluan lain kepada keluarga itu di Rawang, Selangor baru-baru ini.

“Kehilangan seseorang akibat COVID-19 adalah perkara terburuk yang boleh terjadi semasa tempoh mencabar ini dan bagi pihak Yayasan Peneraju, saya berharap bantuan kecil ini dapat membantu Nazurah dan 7 adik-beradiknya yang lain merasakan keluarga merasa sentiasa mendapat sokongan dan nasib mereka dibela.”

“Ia sememangnya masa yang sukar buat semua orang. Kami berusaha untuk membantu apa yang termampu kerana kami memahami kesukaran yang harus dilalui oleh seluruh keluarga ini lebih-lebih lagi setelah pemergian ibu bapa mereka,” katanya.

Organisasi lain seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut hadir menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada keluarga itu.

Nazurah, 19, anak sulung dalam keluarga itu yang kini sedang mengikuti pengajian tahun
pertama di bidang Diploma Elektrikal & Elektronik di Politeknik Mersing, Johor telah
ditawarkan untuk berpindah ke kampus yang lebih dekat dengan rumah mereka oleh
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Pendidikan
Kolej Komuniti (JPPKK).

Manakala adik lelaki Nazurah yang berusia 18 tahun, yang baru sahaja tamat sekolah menengah merancang untuk bekerja bagi menyara keluarga, sementara adik-beradik yang
lain berumur 15, 13, 10 dan 8 tahun masih bersekolah. Dua lagi adik-beradik mereka
masing-masing berumur 4 dan 3 tahun.

Selain menjadi anak sulung yang juga kini turut mengalas tanggungjawab sebagai ketua
keluarga, ibu saudara Nazurah yang sebelum ini tinggal bersama mereka juga turut
membantu menjaga adik-adiknya yang masih kecil.

Sebelum ini, kedua-dua ibu bapa Nazurah telah dihantar ke MAEPS di Serdang dan
kemudian dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia pada 16 dan 18 Julai.

Nazurah juga telah didapati positif COVID-19 sebelum ini tetapi telah sembuh selepas
menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (NADMA) telah memperkenalkan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 NADMA di mana ia merupakan bantuan
sekali beri sebanyak RM 5,000 yang diberikan kepada waris yang meninggal dunia akibat
COVID-19.

Di tengah-tengah kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik ini, Yayasan
Peneraju memainkan peranan dalam menawarkan kursus-kursus pembiayaan penuh dan
pembiayaan separa untuk menaik taraf dan melatih semula kemahiran bagi golongan
lepasan sekolah sehingga golongan yang berusia 45 tahun bertujuan untuk meningkatkan
peluang pekerjaan mereka.

Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Agensi ini telah merealisasi aspirasi lebih 37,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 276 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM822 juta sejak 2012.