Kumpulan UMW, bersama dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Mitsui & Co., Ltd. (MITSUI), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) tiga pihak.

MOU ini membuka jalan untuk potensi kolaborasi yang seiring dengan inisiatif nasional seperti Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon, Penggunaan dan Pengeluaran yang Lestari, serta Program Inovasi Hijau dan Tenaga Lestari yang juga merangkumi bidang yang berkaitan dengan ekonomi hidrogen.

Melalui kerjasama itu, Kumpulan UMW akan meneroka peluang, menguruskan, memudahkan dan menyokong aktiviti di Sektor Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mobiliti Rendah Karbon.

Penekanan akan diberikan pada bidang yang berkaitan dengan ekonomi hidrogen, ekosistemnya dan teknologi hijau yang berkaitan.  MITSUI akan memberikan informasi dan nasihat untuk pengeluaran dan penggunaan hidrogen melalui teknologinya yang inovatif manakala MGTC akan menawarkan perkhidmatan perundingan dan nasihat kepada Kumpulan UMW dan MITSUI.

Ini adalah untuk memastikan projek adalah selaras dengan matlamat dan inisiatif nasional.  Ketiga-tiga pihak akan memanfaatkan kepakaran dan pengetahuan masing-masing dalam mempercepatkan inovasi, demonstrasi teknologi, pengembangan rantaian nilai dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan hijau.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Mat, Menteri Alam Sekitar dan Air dan Hiroshi Oka, duta Jepun ke Malaysia menyaksikan upacara pertukaran MOU yang dilangsungkan secara maya, yang diadakan pada hari ini dalam majlis Forum Ekonomi Hidrogen Antarabangsa dan Makmal Strategik.

Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC dan Daiji Kojima, Pengarah Urusan Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn. Bhd. menghadiri majlis upacara pertukaran MOU itu.

Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC menyatakan, “MGTC, bersama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, telah menyediakan dokumen Low Carbon Mobility Blueprint, agar ianya sejajar dengan Teras 4 Dasar Pengangkutan Nasional 2019-2030.

Dokumen ini kini di tahap akhir penyediaannya dan akan dibentangkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi. Selain itu, MGTC percaya bahawa hidrogen akan menjadi sumber tenaga lestari masa hadapan di semua sektor dan industri.

Kami percaya bahawa Malaysia sudah bersedia untuk melangkah maju dalam inisiatif hidrogen di rantau Asia Tenggara. ”

“Kerjasama dengan penggiat antarabangsa juga membantu Malaysia memenuhi potensinya untuk menjadi penggerak utama dalam bidang yang berkaitan dengan ekonomi hidrogen.

“Kami berbesar hati dengan kehadiran MITSUI dan UMW, kedua-duanya bertaraf global, yang menawarkan panduan serta kepakaran dalam usaha ini.  Selain itu, kolaborasi ini juga akan membuka jalan kepada lebih banyak penggiat industri untuk menyokong ekonomi hidrogen, sehingga menjadi pemangkin nasional dalam mendorong penyelidikan dan inovasi hidrogen.