Kekecohan yang melampau dan kejahilan berhujah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dalam mesyuarat khas Parlimen di Dewan Rakyat boleh disifatkan sebagai “penyakit mental” yang tidak enak disajikan kepada pengundi dan rakyat Malaysia.

Tingkah laku Ahli Parlimen pembangkang yang langsung tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemuh Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi penggulungan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah perbuatan yang sungguh biadab.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata, sewajibnya semua Ahli Parlimen perlu menghormati hasrat murni Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mesyuarat khas Parlimen dijayakan dalam keadaan lancar.

Razali Idris

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, tujuan mesyuarat khas Parlimen ini adalah sebagai satu proses semak dan imbang untuk melihat negara terus ditadbir dengan baik.

“Malahan, tidak timbul isu tidak patuh titah Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang dimaklumkan secara jelas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, secara bertulis bahawa pemberitahu daripada YAB Perdana Menteri kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mana berbunyi “Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk kerajaan memanggil mesyuarat khas Penggal Ketiga Penggal Ke-14 bagi Dewan Rakyat yang bersidang bermula 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021”.

“Justeru, jangan dicemarkan kesucian Dewan Rakyat dengan polemik serta retorik yang telah ditunjukkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang semalam.

“Sikap Ahli Parlimen pembangkang Dewan Rakyat tidak langsung menunjukkan sebagai seorang penggubal undang-undang malahan tidak langsung menghormati Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sekaligus mencemarkan nama baik institusi Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu berkata, rakyat Malaysia sangat hairan akan sikap “penyakit mental” Ahli Parlimen pembangkang yang diterjemahkan di dalam Dewan Rakyat semalam kerana rakyat Malaysia amat mengharapkan penerangan, perbincangan, perbahasan dan pertanyaan yang bernas dan berilmiah dapat dicapai dengan solusi terbaik bagi membantu rakyat dan ekonomi negara.

Pentas Parlimen adalah mencari kaedah terbaik untuk mencari formula pengurusan hal ehwal kemasyarakatan bagi mendepani dan menguruskan permasalahan pandemik COVID-19 dengan perancangan strategik yang efisien dan efektif menerusi penerangan Menteri-menteri yang telah diaturkan dalam aturan urusan mesyuarat dewan.

“Jangan dimomokkan dengan sikap jelik dan membuang masa sepanjang mesyuarat khas Parlimen ini. Pengundi dan rakyat Malaysia kini memerhatikan wakil rakyat yang berwibawa untuk pilihan raya umum yang akan datang ini,” katanya lagi.