Muslim Pro, app keagamaan dan komuniti Islam paling popular di dunia dengan lebih 100 juta muat turun sehingga kini, melancarkan kempen pendanaan awam bermula hari ini sehingga 6 Ogos 2021, bagi mengumpul dana untuk umat Islam di Malaysia yang memerlukan barangan asas semasa pandemik Covid-19 ini.
Kempen ini dilaksanakan secara kolaborasi bersama Pertubuhan Kebajikan Sedulur, sebuah badan kebajikan yang bermula pada 2015 dengan matlamat mengurangkan rantaian kemiskinan.
Menerusi kolaborasi ini, menjelang 9 Ogos 2021, Muslim Pro menyasar untuk mengedar 100 bakul makanan kepada golongan memerlukan (B40 dan ke bawah) di Malaysia menggunakan dana yang dikumpul sepanjang kempen ini.
Menerusi Pertubuhan Kebajikan Sedulur, dana ini akan menyediakan barangan asas dan makanan bagi rakyat berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan semua umat Islam di Malaysia semasa berdepan dengan kesulitan sekarang.
Matlamat dan objektif kempen ini adalah bagi menyatupadukan rakyat Malaysia untuk membantu mereka yang terjejas teruk akibat pandemik ini.
“Dalam Islam, umatnya digalakkan memberi sedekah atau sumbang bagi membantu saudara sesama Islam bagi mengeluarkan mereka daripada kesulitan, terutama waktu-waktu yang sukar ini.
Semasa pandemik Covid-19 ini, ramai orang kehilangan insan tersayang, kehilanan kerja dan pendapatan, menjadikan mereka terkapa-kapai. Kami percaya dengan memberi balik kepada komuniti ini, kita akan dapat meringankan beban mereka dan membantu mereka dalam apa cara yang kita boleh,” kata Nik Emir Din, Ketua Negara bagi Malaysia.
“Kami berharap untuk melihat kemajuan di dalam situasi Covid-19 ini, sementara itu kami juga gembira melihat app kami terus memberi sokongan besar dan bantuan kepada semua umat Islam di seluruh dunia kerana ciri-ciri pada apps kami membantu menyambungkan jarak fizikal di dalam pengamalan agama kami,” katanya.
Muslim Pro menggalakkan semua orang untuk sama-sama menyumbang bagi kempen ini menerusi aplikasi Muslim Pro, muat turun https://www.muslimpro.com/ sekarang.




































