Paparan kandungan video eksklusif oleh Astro di Twitter dari EURO 2020 dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020

Bersempena musim panas 2021 yang penuh dengan acara sukan monumental seperti UEFA
EURO 2020™ dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020, Twitter dan Astro mengumumkan kerjasama baru untuk membawakan sorotan video ke platform media sosial tersebut.

Peminat Malaysia kini boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai EURO 2020™ serta Sukan Olimpik Musim Panas 2020 dengan mengikuti akaun @AstroArena dan @StadiumAstro.

Maklumat terkini ini termasuklah sorotan perlawanan bagi kesemua 51 perlawanan EURO 2020™ dan siaran langsung pertunjukan studio pra dan pasca perlawanan, serta klip-klip terpilih rancangan pasca pertandingan.

Tambahan, peminat Malaysia juga akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti unik #OnlyOnTwitter yang merangkumi tinjauan media melibatkan klip promosi, reaksi perlawanan serta sesi wawancara khas.

Dengan mengikuti @AstroArena dan @StadiumAstro, para peminat juga boleh mengambil bahagian dalam Twitter Spaces, satu cara untuk mengadakan perbualan audio secara langsung di Twitter yang mana mereka akan berpeluang mendengar lebih banyak kandungan oleh Astro mengenai EURO 2020™ – pasti memberikan pengalaman baru buat peminat.

Klip-klip istimewa ini akan dihasilkan oleh Astro khas buat tatapan peminat di Twitter.

Tambahan, Astro juga bakal menyiarkan kesemua 51 perlawanan EURO 2020™, serta 13 saluran yang membawakan liputan terbaik Atlet Malaysia tatkala bersaing di Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020.

“Twitter merupakan platform peminat sukan untuk berhubung terus dengan perbualan global dalam masa nyata, dan bekerjasama dengan Astro untuk membawakan berita menarik EURO 2020™ dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 memberikan peminat Malaysia kesemuanya dalam satu platform,” ulas Maurizio Barbieri, Ketua Kerjasama Sukan, Twitter Asia Tenggara.

“Astro membawakan liputan terbaik dalam perlawanan bola sepak dan Sukan Olimpik Musim Panas dan kami amat teruja untuk memberikan destinasi satu henti bagi peminat untuk menyaksikannya secara atas talian.

Tatkala pemain bola sepak tersohor dunia berentap di EURO 2020™ dan atlet terbaik Malaysia bersaing dengan jaguh dunia untuk merealisasikan impian sukan mereka di Sukan Olimpik Musim Panas 2020, peminat Malaysia boleh mengikuti perbualan global di Twitter sama ada untuk meraikan kemenangan atau berkongsi saat-saat mendebarkan.

“Astro komited untuk membawakan liputan terbaik buat peminat bagi EURO 2020™ dan Sukan Olimpik Musim Panas 2020, dan ini terbukti melalui capaian liputan di platform dan servis yang kerap digunakan mereka,” kata CK Lee, Ketua Perkhidmatan Sukan di Astro.

“Ini akan menjadi musim panas yang terbaik buat peminat di Malaysia dan juga serata dunia, dan kami amat teruja untuk menyambungkan peminat kepada perbualan tidak kira di mana dengan kerjasama yang terjalin bersama Twitter.”